[V] Dah bertahun Neelofa tak jejak bazar Ramadan... Lagi suka masak di rumah walau cuma satu lauk
KETIKA tibanya bulan Ramadan, antara perkara yang sentiasa dinantikan oleh orang ramai ialah mengunjungi bazar Ramadan dan memburu aneka pilihan juadah menyelerakan.
Namun personaliti dan juga usahawan popular, Neelofa pula sebaliknya apabila memberitahu sudah bertahun-tahun tidak menjejakkan kaki ke bazar kerana tahu makanan yang dibeli akhirnya tidak akan dimakan dan hanya mengundang pembaziran.
Kata Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 37, ketika tibanya bulan puasa, dia lebih suka memasak di rumah terutama selepas mendirikan rumah tangga bersama suami, Haris Ismail.

"Saya sebenarnya sudah lama tidak pergi ke bazar Ramadan, sebab saya tahu kalau saya ke bazar akhirnya saya tidak makan pun (membazir).
"Jadi selepas berkahwin, saya lebih suka memasak di rumah untuk berbuka puasa," kata bekas pemenang Dewi Remaja 2009/2010 itu.
Ketika ditanya antara menu yang disediakan ketika berbuka, Neelofa memberitahu dia dan suami hanya berbuka dengan satu lauk utama bersama sayuran.
MENARIK DIBACA: Teknik mudah simpan daun ketumbar guna balang... Beli seikat tahan sebulan, aroma kekal segar
MENARIK DIBACA: [V] "Dulu nasi pun lembik" - Erma Fatima mengaku tak pandai masak, hanya masuk dapur lepas kahwin
"Saya dan suami berbuka dengan hidangan ringkas sahaja.
"Sebagai contoh, saya akan masak satu lauk utama bersama sayur-sayuran, tanpa air manis.
"Manakala sahur pula saya cuma makan tiga biji kurma bersama dua gelas air kosong. Itu sudah cukup," jelas ibu kepada dua orang cahaya mata lelaki itu.
Menyentuh tentang perkembangan dua orang puteranya, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas yang kini masing-masing berusia 4 dan 3 tahun, kakak kepada Ameera Khan itu mengakui sangat menjaga pemakanan anak-anaknya dengan memberikan mereka sumber pemakanan terbaik.

Kata Neelofa, dia sangat 'gilakan' sumber makanan organik untuk diberikan kepada anaknya kerana mahu mereka berdua membesar dengan sihat dan baik.
"Saya memang sangat 'hardcore' dengan makanan organik terutama untuk anak-anak.
"Jadi saya akan berbelanja lebih untuk pemakanan mereka supaya anak-anak dapat yang terbaik untuk tumbesaran.
"Otak mereka sedang berkembang dan badan mereka masih belum cukup matang.
"Maka saya akan cuba lakukan yang terbaik dan jarang memberi mereka makan makanan ringan dan segera," katanya.
