Tak payah penat-penat uli doh, roti putih pun sedap dibuat kulit karipap
KALAU sebut roti putih, kebanyakan antara anda pasti akan terbayang sarapan ringkas cicah dengan kopi panas tak pun sapu jem, mentega kacang atau kaya.
Memang itulah cara paling biasa kita nikmati roti setiap hari.
Tapi tahukah anda, roti putih sebenarnya sangat versatil dan boleh diolah jadi pelbagai jenis hidangan menarik termasuk snek tradisional seperti karipap?
Karipap roti ialah versi moden dan ringkas berbanding karipap biasa menggunakan doh malah kulitnya lebih rangup.

MENARIK DIBACA:Sotong masak hitam stail utara memang juara, dakwatnya kunci keenakan rasa
MENARIK DIBACA: Nasi lemak kampung beza rasanya, rahsianya 'peram' pakai surat khabar dan daun pisang baru padu
Tak perlu uli atau tunggu doh naik, boleh gunakan saja roti yang dileperkan kemudian isikan dengan inti kegemaran anda.
Hasilnya, karipap rangup di luar dan lembut di dalam digabungkan pula dengan inti sedap, pastinya buat sesiapa pun terliur!
Jom cuba resipi mudah karipap roti.
Bahan-bahan
Untuk kulit
- 10 keping roti putih
- Sedikit air untuk melekatkan tepi
- Minyak masak untuk menggoreng
Untuk inti
- 2 biji kentang dipotong dadu kecil, rebus & toskan
- 150g daging kisar / ayam kisar
- 1 biji bawang besar dicincang
- 2 ulas bawang putih dicincang
- 1 sudu besar serbuk kari daging
- 1 sudu besar serbuk cili (jika suka pedas)
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis
Cara penyediaan
Sediakan inti
- Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar & bawang putih hingga wangi.
- Masukkan serbuk kari dan serbuk cili. Tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan daging/ayam kisar. Kacau sehingga masak.
- Masukkan kentang rebus, gaul rata.
- Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Sejukkan inti sebelum digunakan.
Sediakan kulit karipap
- Ambil sekeping roti, gelek dengan roller hingga leper.
- Letakkan 1-2 sudu inti di tengah-tengah.
- Sapukan sedikit air di sekeliling roti untuk melekat.
- Lipat dua jadi bentuk separuh bulat. Tekan tepi dengan garfu untuk tutup rapat dan bentuk seperti karipap.
- Panaskan minyak dalam kuali.
- Goreng karipap roti hingga kekuningan dan rangup.
- Toskan minyak dan hidang panas-panas.