Selain pisang dan nanas, buah-buahan ini lagi sedap kalau dipanggang
MUNGKIN kedengaran pelik, tapi bakar buah atas pemanggang sebenarnya cara unik menikmati rasa sesuatu buah dengan cara berbeza.
Bara api memanggang bukan sahaja mengeluarkan rasa manis tetapi rasa karamel buah-buahan yang beraroma wangi.
Malah terdapat beberapa jenis buah memang sesuai dibakar kerana teksturnya kekal elok selain membuatkan rasanya lebih sedap.
Selain sihat, buah panggang juga boleh dijadikan snek ringan atau pelengkap menu barbeku.
Berikut lima jenis buah yang boleh anda cuba panggang sendiri di rumah:-

1. Tembikai
Siapa sangka buah tembikai yang enak dimakan sejuk, rupanya lebih lazat sekiranya dibakar beberapa minit atas pemanggang.
Rasa tembikai boleh jadi lebih manis dan berkaramel!
Lebih menarik, tambahkan perahan limau nipis, sedikit daun ketumbar, serta serbuk cili dan madu yang berikan rasa manis-pedas menyengat.

2. Avokado
Rasa avocado tak pernah mengecewakan meskipun disediakan dalam pelbagai teknik masakan.
Belah dua, keluarkan biji, sapu sikit minyak zaitun dan tabur serbuk paprika atau cili.
Kemudian panggang selama 3 hingga 5 minit sehingga permukaannya sedikit keperangan.
Avokado panggang boleh dihidangkan bersama telur dan roti dan diisi dengan salmon atau udang sebagai menu lengkap.

3. Nanas
Buah tropika ini bukan sahaja menyegarkan, malah kaya dengan vitamin C dan enzim bromelain yang membantu pencernaan.
Apabila dipanggang, rasa manis dan masam semula jadinya menjadi lebih seimbang dengan sedikit aroma hangus wangi.
Potong nanas tebal atau berbentuk wedges, kemudian panggang selama 3 hingga 5 minit sehingga keperangan.
Nanas panggang sesuai dinikmati bersama yogurt kelapa, dijadikan topping salad atau pizza.

4. Peach
Buah peach yang manis dan berair semakin lazat apabila dipanggang kerana haba api menyerlahkan rasa semula jadinya.
Belah dua dan buang bijinya, kemudian panggang bahagian dalam hingga sedikit berkaramel.
Untuk versi masin, padankan dengan bawang merah dan cuka balsamik, dihidangkan bersama ayam atau ikan panggang.
Bagi versi manis pula, tambahkan madu dan ais krim vanilla sebagai pencuci mulut.

5. Pisang
Selain popular sebagai pisang goreng atau roti pisang, pisang panggang menawarkan rasa yang berbeza dan lebih lembut.
Gunakan pisang yang tak terlalu masak, belah memanjang dan sapu dengan sirap maple atau minyak kelapa, kemudian taburkan kayu manis.
Panggang selama 3 hingga 4 minit setiap sisi hingga kulitnya sedikit kehitaman.
Sajikan pisang bersama coklat cair, krim kelapa, atau mentega kacang untuk rasa manis yang memuaskan.