Salmon kaya dengan omega-3, nutrisi penting bantu perkembangan otak bayi dalam kandungan
SETIAP ibu pastinya inginkan terbaik untuk anak, terutamanya dalam memastikan perkembangan otak bayi berada pada tahap optimum sejak dari awal kandungan.
Antara nutrisi penting sering ditekankan pakar kesihatan adalah pengambilam asam lemak Omega-3, boleh didapati dari ikan salmon.
Omega-3 memainkan peranan besar dalam perkembangan bayi lebih lagi bagi mengurangkan risiko pramatang dan membantu pembentukan sistem saraf serta perkembangan otak bayi.

Semasa kehamilan, Omega-3 juga penting untuk membantu perkembangan kognitif yang baik buat bayi.
Dengan kata lain, salmon adalah pelaburan nutrisi untuk membantu tumbesaran bayi dengan minda sihat dan cerdas.
Berikut adalah kebaikan salmon untuk perkembangan otak dan motoskil bayi.

1.Tinggi kandungan Omega-3
Salmon terkenal sebagai sumber Omega-3 terbaik, khususnya Docosahexaenoic Acid (DHA) dan Eicosapentaenoic Acid (EPA).
Kedua-dua jenis lemak sihat ini sangat penting untuk ibu hamil kerana ia menjadi bahan binaan utama kepada otak dan sistem saraf bayi.
DHA terlibat secara langsung dalam pembentukan sel otak dan retina manakala EPA membantu peredaran darah baik memastikan nutrisi sampai kepada bayi dengan lebih efektif.

2. Rendah merkuri
Salah satu kebimbangan ibu hamil apabila mengambil makanan laut ialah risiko merkuri boleh memberi kesan kepada perkembangan otak bayi.
Namun salmon adalah pilihan selamat berbanding ikan bersaiz besar seperti tenggiri, tuna besar atau pari lazimnya menakung merkuri pada tahap lebih tinggi.
MENARIK DIBACA: Tingkatkan penghasilan susu ibu dan redakan sakit kepala, antara 8 kebaikan minum air rebusan halba
MENARIK DIBACA: Kombinasi seni dan rasa, ada cara mudah buat agar-agar tembikai
Salmon berada dalam kategori ikan rendah merkuri menjadikannya sesuai diambil dua hingga tiga kali seminggu tanpa menimbulkan risiko.
Ini membolehkan ibu hamil menikmati manfaat Omega-3 tanpa perlu risau tentang keselamatan bayi dalam kandungan.

3. Kaya dengan nutrisi lain
Selain Omega-3, kandungan protein berkualiti tinggi penting untuk membina otot, tisu dan organ bayi serta membantu ibu mengekalkan tenaga sepanjang kehamilan.
Vitamin D terkandung dalam salmon juga menyokong pembentukan tulang dan gigi kuat, membantu penyerapan kalsium dan meningkatkan imuniti ibu.
Iodin dalam hidupan laut ini juga penting untuk perkembangan otak dan fungsi hormon tiroid bayi.
Kekurangan iodin boleh menjejaskan tahap kecerdikan anak pada masa depan.
Secara amnya, ibu hamil boleh mengambil dua hingga tiga hidangan salmon seminggu dengan anggran berjumlah 350g seminggu bergantung kepada keperluan.
Elakkan pengambilan salmon mentah seperti dalam sushi dan pilih salmon dipanggang, dikukus, direbus mahupun dibakar dengan minyak.