Lauk 'frozen' tak 'gah' macam dalam iklan, pelanggan kecewa sampai tak lalu makan
APABILA membeli makanan secara dalam talian, pelanggan biasanya teruja untuk mencuba apabila melihat gambar dalam iklan.
Malang nasib seorang pengguna Threads apabila mendakwa lauk 'frozen' (sejuk beku) yang dibelinya jauh berbeza berbanding apa yang dipaparkan peniaga.
Individu berkenaan berkongsi beberapa jenis lauk dibelinya termasuk ikan kembung masak kicap, udang sambal dan ayam paprik.
"Frozen food saya dapat tak seperti ditunjukkan dalam iklan peniaga.

"Ikan kembung masak kicap, mana kuah kicap? Udang sambal, sambal dan udangnya sedikit. Ayam paprik pula?" kongsinya.
Lebih mengecewakan, individu itu mendakwa makanan berkenaan akhirnya tidak dijamah oleh ahli keluarga.
"Sehinggakan kami anak-beranak tak sanggup nak makan. Bila minta penjelasan, sedikit pun tak mahu balas," katanya.
MENARIK DIBACA: 7 'street food' terbaik Asia Tenggara, nasi lemak masuk senarai
MENARIK DIBACA: Nasi lemak ditukar nama kepada Nanyang Coconut Rice, netizen Malaysia lancar 'perang'
Dalam hantaran sama, dia meluahkan rasa kecewa kerana harga dibayar menurutnya tidak setara dengan lauk diterima.
"Kecewa betul. Harga dibayar bukan kecil untuk lauk macam ini," katanya lagi.
Individu berkenaan turut mengatakan bahawa dia serba salah untuk berkongsi gambar iklan bersama makanan diterima kerana bimbang tindakannya dianggap menjatuhkan perniagaan orang lain.

"Kalau saya letak gambar iklan dengan apa yang saya dapat, nanti dianggap menjatuhkan perniagaan Melayu.
"Harap kedai ini perbaiki cara menyediakan makanan," tambahnya.
Perkongsian tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai jangkaan pelanggan apabila membeli makanan berdasarkan gambar promosi disediakan peniaga.
Bagi pelanggan, gambar dan penerangan produk menjadi antara rujukan sebelum membuat pembelian dan wajar buat peniaga mengetengahkan produk munasabah.