Squishy dumpling nampak comel, doktor dedah bahan kimia berbahaya!
TREND mainan pelbagai bentuk yang lembut dan boleh dipicit dikenali sebagai ‘squishy’ cukup popular dalam kalangan kanak-kanak.
Tidak hairanlah, jualan mainan berkenaan semakin laris malah terdapat pelbagai pilihan rekaan comel di pasaran, termasuk yang menyerupai makanan seperti dumpling.
Bagaimanapun, ibu bapa mungkin perlu lebih berhati-hati kerana salah satu produk 'squishy' dumpling yang dijual di United Kingdom (UK) telah ditarik balik selepas ujian mendapati ia mengandungi kepekatan bahan kimia benzena berlebihan.
Menurut perkongsian Doktor Fahmi Ezani, ujian yang dilakukan di UK mendapati lapisan luar produk berkenaan mengandungi kepekatan benzena berlebihan iaitu 20 miligram bagi setiap kilogram .

"Kalau anak korang main squishy dumpling, kena buang sekarang!
"Dekat UK mereka ada buat analisis, mereka jumpa bahan kimia benzena terlalu banyak. Berganda-ganda lebih daripada had dibenarkan," katanya.
Perkara itu selari dengan notis rasmi yang dikeluarkan Office for Product Safety and Standards (OPSS), UK pada 25 Jun 2026.
Benzena merupakan bahan kimia yang digunakan secara meluas dalam industri, termasuklah untuk penghasilan pelbagai bahan seperti plastik dan bahan sintetik.
MENARIK DIBACA: Sushi Push Pop jadi fenomena di New York, disajikan dalam bekas silinder
MENARIK DIBACA: Hidup influencer ini berubah selepas makan sushi, separuh wajah lumpuh dijangkiti salmonella
Ia juga merupakan bahan kimia meruap yang mana pendedahan kepada manusia lazimnya berlaku melalui penyedutan.
Pendedahan kepada benzena boleh memberikan pelbagai kesan kesihatan jangka pendek dan panjang serta penyakit kronik.
Tambah Dr Fahmi, kanak-kanak juga perlu diberikan perhatian kerana mereka mungkin memegang mainan berkenaan dengan kerap dan ada yang memasukkannya ke dalam mulut.
"Untuk orang dewasa, kalau anda sentuh dan tak rasa apa-apa mungkin ia biasa. Tapi untuk kanak-kanak, kulit mereka sensitif.

"Mereka pegang merata-rata, ada yang letak dalam mulut. Ia boleh jadi iritasi pada kulit, mata dan ganggu saluran pernafasan," ujarnya.
Justeru ibu bapa disarankan supaya lebih teliti ketika membeli mainan, terutama produk yang tidak mempunyai maklumat pengeluar atau pelabelan keselamatan yang jelas.
"Jangan terus beli. Kadang benda tu viral sebab company tu sendiri buat marketing.
"Tak semestinya ramai orang guna, ia dianggap selamat. Kena buat research dulu. Kadang-kadang benda dah jadi baru kita nak buat analisis," jelasnya.