Hukum makan keropok lekor dibuat tanpa cuci darah ikan, tak buang organ
KEROPOK lekor antara makanan tradisi yang cukup dekat dengan masyarakat Malaysia, terutama bagi penggemar makanan Pantai Timur.
Satu perkongsian semula video ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai proses penyediaan keropok lekor menarik perhatian ramai apabila menggunakan ikan masih bercampur darah.
Video itu membuatkan ramai mula tertanya-tanya mengenai cara sebenar pembuatan keropok lekor, termasuk persoalan sama ada darah ikan masih belum dibersihkan boleh memberi kesan terhadap hukum makan makanan berkenaan.
Menerusi penjelasan dalam ceramah itu, seorang individu bertanya mengenai hukum menghasilkan keropok lekor menggunakan ikan tidak dibersihkan terlebih dahulu sehingga darah dan bahagian tertentu masih bercampur ketika proses mengadun.

Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa darah termasuk dalam perkara diharamkan dalam Islam.
Menurutnya, sekiranya darah ikan masih mengalir dan belum dibersihkan bercampur dalam makanan, ia menjadi isu perlu diberi perhatian kerana darah tergolong dalam kategori najis.
Larangan memakan darah juga disebut dalam al-Quran menerusi Surah al-Ma’idah ayat 3 yang bermaksud:
"Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi..."
MENARIK DIBACA: Durian dibawa masuk stadium! Pakaian anak Malaysia tonton Piala Dunia 2026 jadi perhatian
MENARIK DIBACA: Semua sama 'fesyen'! Pelanggan naik muak, mula 'pangkah' restoran guna poster AI - "Tak selera nak masuk"
Penjelasan itu kemudian mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada mengakui terkejut selepas mengetahui perkara itu manakala sebahagian lain mula berkongsi pandangan mengenai proses pembuatan keropok lekor biasa dilakukan oleh pengusaha.
Bagaimanapun, isu ini bukan bermaksud semua keropok lekor dijual di pasaran adalah haram dimakan.

Perbincangan tersebut lebih tertumpu kepada situasi tertentu iaitu apabila ikan digunakan bersama darah atau bahagian dalaman tanpa melalui proses pembersihan terlebih dahulu.
Dalam penghasilan keropok lekor, kebersihan bahan mentah menjadi antara perkara penting bagi memastikan produk yang dihasilkan bukan sahaja berkualiti, malah memenuhi aspek keselamatan makanan dan keperluan halal.
Bagi penggemar keropok lekor, isu tular itu boleh dijadikan peringatan supaya lebih peka terhadap proses penyediaan makanan, termasuk memilih produk daripada pengusaha yang mengutamakan kebersihan dan pengendalian bahan mentah yang baik.
Dalam pada itu, ramai juga mengakui perkongsian seperti ini membuka ruang untuk masyarakat lebih memahami bahawa setiap makanan mempunyai proses penyediaan yang perlu diberi perhatian, bukan sekadar melihat kepada rasa dan keenakan semata-mata.