Lebih banyak Jualan Rahmah Madani pada 2027, rakyat nikmati hasil pertanian segar 30 peratus lebih murah
BERBELANJA barang dapur mungkin terasa lebih ringan pada 2027 apabila kerajaan menyasarkan lebih banyak penganjuran Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani di seluruh negara.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM750 juta bagi pelaksanaan Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani, dengan sasaran sebanyak 35,000 penganjuran.
Tumpuan diberikan kepada usaha memperbanyakkan Jualan Rahmah di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar.
Inisiatif ini bukan sahaja melibatkan kedai runcit biasa, malah turut diperluas menerusi penggunaan mesin layan diri.
Jualan Rahmah MI Borong juga akan dianjurkan bagi membantu peniaga kecil mendapatkan bekalan barangan pada harga lebih berpatutan.
Sementara itu, sebanyak 5,000 penganjuran Jualan Agro Madani turut dilaksanakan bagi membolehkan pengguna mendapatkan hasil pertanian segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman turut mendapat akses kepada barangan keperluan asas, kerajaan menyediakan peruntukan RM250 juta untuk memperluas program pengedaran barangan asas ke kawasan berkenaan.
Usaha itu turut melibatkan enam lokasi baharu, antaranya Kampung Terian di Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam di Pusa, Sarawak.