info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
featured_seasonal_and_gifts 0
hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

KUALI | Momen

'Resign' kerja bank demi buka kafe, usahawan berjaya bangkit lepas 2 kali hampir bankrap

Lead Image

MINATNYA terhadap kopi tercetus ketika bekerja di London.

Bagaimanapun Mirwan Badri tidak menyangka dirinya sanggup meninggalkan kerjaya dalam sektor perbankan untuk membuka kafe.

Meskipun dua kali hampir bankrap, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya malah menjadi titik perubahan yang mendorong dirinya terus bangkit dan meneruskan usaha.

Meninggalkan kerjaya korporat dan kemudian berdepan kerugian besar Mirwan membuktikan bahawa kegagalan bukanlah noktah untuk mengecapi kejayaan dalam perniagaan.

Ketika berdepan pelbagai cabaran, Mirwan, 34, belajar kemahiran baharu termasuk membina laman web, pemasaran digital, memasak dan membuat pastri yang akhirnya membuka ruang lebih luas dalam industri makanan dan minuman khususnya kopi yang diusahakan.

Kongsinya, ketika bekerja di Maybank cawangan London, dia menghabiskan masa hujung minggu dengan bekerja secara sambilan di sebuah kedai kopi.

Kafe kopi menjadi antara langkah awal Mirwan sebelum meneroka peluang baharu dalam industri kopi.

“Saya mula dari dapur kemudian ke bahagian bar ketika bekerja di kedai sandwich Pret A Manager. Dari situ saya mula memahami dunia kopi dengan lebih mendalam.

“Saya kemudian pergi ke Jerman untuk belajar mengenai ‘roasting’ kopi. Semua itu saya buat ketika masih bekerja di sektor perbankan,” katanya kepada Kuali.

Bagaimanapun, perubahan sistem kerajaan British menyebabkan Mirwan tidak dapat memperbaharui visanya pada 2012 sebelum akhirnya pulang ke Malaysia dan menyambung kerjaya di bank sama di Kuala Lumpur.

Kongsinya lagi, suasana kerja di ibu negara yang jauh berbeza daripada pengalaman di London membuatkan dia mula memikirkan semula hala tuju hidupnya.

“Saya rasa saya perlu fokus untuk mulakan bisnes sendiri. Saya ‘refine business plan’, kemudian saya kongsi dengan kawan-kawan.

“Ada seorang kawan yang keluarganya berkemampuan dan mereka bersetuju nak membantu untuk memulakan bisnes (rakan kongsi),” katanya.

Hanya berbekalkan 'keberanian' untuk mengambil risiko, Mirwan akhirnya meninggalkan kerjaya korporat dan membuka kafenya pada Ogos 2013 yang kini dikenali Sprezzatura Coffee terletak di Phileo Damansara, Selangor.

Mirwan Badri ketika ditemu bual menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’, sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 anjuran Bank Nasional Berhad.

Kafe rugi RM350,000

Mengakui dirinya bukan datang dari keluarga berada, namun Mirwan percaya setiap impian perlu dimulakan dengan perancangan.

Dia menyediakan 'business plan' sebelum mencari pelabur dan akhirnya berjaya mendapatkan kira-kira RM600,000 daripada 'angel investor' sebagai modal permulaan.

Sebahagian besar wang tersebut digunakan untuk membeli mesin espresso, 'grinder' dan mesin 'roasting' (panggang) biji kopi manakala selebihnya digunakan bagi tujuan renovasi, perabot dan modal pusingan.

Menurut Mirwan, ketika itu konsep kedai yang menggabungkan kafe dan proses memanggang kopi masih baharu di Malaysia.

“Saya nampak di London, banyak kedai kopi buat 'roasting' di sebelah bar. Pelanggan boleh nampak proses memanggang dan tahu kopi yang mereka minum itu segar.

“Jadi saya fikir mungkin ini satu idea dan potensi yang bagus untuk dibuat di Malaysia,” katanya.

Antara pilihan produk kopi yang dijual di Sprezzatura Coffee.

Konsep tersebut yang dibawa ke Malaysia pada ketika itu mendapat sambutan apabila pelanggan bukan sahaja datang untuk menikmati kopi, malah turut berminat melihat sendiri proses 'roasting' yang dilakukan.

Kongsinya lagi, dia mengambil alih 100 peratus pemilikan perniagaan pada 2018 bagi mengembangkan bisnes sebelum membuka 'outlet' baharu yang terletak di Taman Tun Dr Ismail.

Malangnya, perjalanan perniagaan Mirwan pada 2019 bermasalah apabila kafenya terpaksa ditutup selepas enam bulan beroperasi menyebabkan dia kerugian kira-kira RM350,000.

“Saya dah tak tahu nak buat apa. Saya rasa waktu itu memang ‘habislah’.

“Mungkin saya perlu masuk balik kerja korporat ke atau cari kerja lain,” katanya.

Bagaimanapun, sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan dia tidak terus mengalah.

Mirwan mula melihat masalah satu persatu dan mencari penyelesaian termasuk berbincang dengan pembekal untuk mendapatkan tempoh kredit yang lebih panjang.

Ketika itulah Mirwan berdepan risiko bankrap.

Bina website, pasar biji kopi

Selepas penutupan kafe di TTDI, Mirwan mula mencari jalan baharu untuk meneruskan perniagaan dengan belajar membina laman web sendiri bagi membawa produk biji kopi mentah ke platform digital.

Tanpa latar belakang dalam teknologi, Mirwan memanfaatkan waktu malam selepas anak-anak tidur untuk belajar membina laman web, pemasaran digital, Google Ads dan Google Analytics.

“Saya curi luang masa malam-malam bila anak-anak dah tidur. Saya luangkan beberapa jam untuk 'design website', letak produk dan belajar 'marketing'.

“Memang tak mudah sebab saya dah berkeluarga tapi saya cuba belajar,” katanya.

Usaha itu membuahkan hasil apabila tertubuhnya Buna Market, sebuah platform dalam talian yang menghimpunkan pelbagai produk berkaitan kopi termasuk biji kopi mentah, mesin, 'grinder' serta peralatan kopi daripada pengusaha sangai kopi dan pengedar.

Antara mesin pemanggang kopi yang digunakan dalam operasi perniagaan Mirwan.

Pada awalnya, platform itu hanya menawarkan sekitar 20 produk sebelum berkembang kepada kira-kira 2,000 produk pada kemuncaknya.

Ketika pandemik Covid-19, jualan platform itu melonjak dari RM5,000 hingga RM6,000 sebulan kepada kira-kira RM40,000 manakala hasil dalam tempoh dua tahun mencecah RM4 juta.

“Kalau tengok balik, bisnes tak semestinya perlukan pelaburan yang besar. Kita cuma perlu cari laluan yang betul dan kembangkan apa yang kita ada,” katanya.

Ujian kali kedua

Ketika dia menyangka keadaan mula stabil, pandemik Covid-19 sekali lagi menguji Mirwan.

Operasi kafe secara fizikal terpaksa dihentikan kerana pelanggan tidak dapat datang malah kewangan perniagaan mula terjejas gara-gara berdepan hutang.

Dalam keadaan itu, Mirwan memilih untuk mendapatkan pembiayaan melalui skim BSN Micro-i Madani (Bank Nasional Berhad) sebanyak RM50,000 dengan tempoh bayaran lima tahun.

Kongsinya lagi, pembiayaan tersebut bukan digunakan untuk Buna Market, sebaliknya untuk menghidupkan semula operasi perniagaan kafenya.

“Waktu pandemik, saya sehinggakan sanggup menjual kebanyakan perabot yang ada dan barang yang tidak digunakan untuk dapatkan wang.

“Bila nak buka semula kedai, saya perlukan dana untuk beli semula perabot, 'upgrade' mesin dan 'working capital',” katanya.

Bagi Mirwan, mengambil pembiayaan bukan sesuatu yang perlu ditakuti tetapi ia perlu dilakukan dengan perancangan yang jelas.

“Jangan ambil pembiayaan secara membuta tuli atau sebab di bawah tekanan.

“Kita kena tahu duit itu nak digunakan untuk apa. Kalau salah guna, ia boleh jadi bahaya,” katanya.

Teroka akar industri kopi tempatan

Selepas lebih sedekad dalam industri kopi, Mirwan kini mahu memberi tumpuan kepada sesuatu yang lebih dekat dengan akar industri itu.

Menurutnya, dia baru memulakan jenama baharunya, Utan Kopi, yang memfokuskan perdagangan biji kopi mentah dengan hasrat mempromosikan industri tanaman kopi tempatan.

Buat masa ini, dia tidak terlalu mengejar pembukaan cawangan sebaliknya mahu bekerjasama dengan petani kopi di Malaysia.

Antara kawasan yang telah diterokai termasuk Selangor, Johor dan Sabah, selain mempunyai perancangan untuk mendapatkan bekalan dari Sarawak, Kedah dan Kelantan.

“Saya rasa fokus saya untuk beberapa tahun akan datang adalah ‘back to roots’.

“Apa yang kita ada dekat Malaysia sebenarnya mempunyai banyak nilai tetapi kadang-kadang kita sendiri tak nampak potensinya,” katanya.

Menurut Mirwan, masyarakat sering menganggap kopi dari negara seperti Costa Rica, Yaman dan Panama lebih istimewa.

Hakikatnya kopi Malaysia turut mempunyai potensi besar dan mendapat perhatian pihak luar.

“Orang luar sebenarnya sangat berminat dengan kopi kita. Cuma kita perlukan lebih banyak pendedahan supaya orang tempatan sendiri nampak potensi yang kita ada,” katanya.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Dunia

Makanan diet sinonim rasa hambar... Ini 10 sajian sihat sedap dimakan, tak jemu

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Viral

Penat 'battle' Sambal Nyet Bilis belum hilang, KA 'bersuara' versi petai pula

Terhangat