Program Nutri Aid bekal susu percuma, sokong tumbesaran murid B40 melalui mesin layan diri
PEMAKANAN yang cukup kuantiti dan nutrisi memainkan peranan penting dalam memastikan tumbesaran serta perkembangan kanak-kanak berada pada tahap baik.
Bagaimanapun peningkatan kos sara hidup menyebabkan masih banyak keluarga khususnya golongan B40 berdepan kesukaran menyediakan nutrisi harian seimbang untuk anak-anak.
Prihatin terhadap isu ini, perniagaan mesin layan diri, Atlas Vending di bawah Etika Sdn Bhd melancarkan Atlas Nutri Aid sempena Hari Susu Sedunia bagi membantu menangani ketidakseimbangan pemakanan dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.
Dilancarkan di Goodday Milk Factory pada Khamis lalu, program ini merupakan hasil kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).
Atlas Nutri Aid menggunakan teknologi mesin layan diri pintar bagi menyediakan akses harian secara percuma kepada susu berkualiti tinggi untuk murid yang layak.

Bagi kebanyakan kanak-kanak daripada komuniti B40 di Malaysia, akses kepada pemakanan harian bernutrisi masih menjadi cabaran yang tidak disedari.
Justeru melalui inisiatif ini, bekalan nutrisi berasaskan tenusu dapat disediakan secara konsisten dalam persekitaran sekolah dan komuniti.
Pelancaran secara rasmi itu dibuat selepas program perintis dijalankan di beberapa sekolah terpilih yang menunjukkan kadar penyertaan murid tinggi serta konsistensi transaksi yang lebih baik.
Susulan kejayaan tersebut, program ini diperluaskan menerusi pemasangan 10 mesin layan diri Atlas Nutri Aid di sekolah-sekolah terpilih.
Mesin layan diri akan membekalkan Goodday Charge Milk secara percuma yang mana ia diformulasikan untuk meningkatkan tenaga, menyokong kesihatan tulang dan membantu fungsi kognitif menerusi gabungan 10 nutrien penting untuk tumbesaran fizikal serta mental kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd dan International Exports, Hemalatha Ragavan berkata, penyediaan nutrisi harian bagi sesetengah keluarga bukan sesuatu yang terjamin dan keadaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada tumbesaran kanak-kanak.
"Menerusi Atlas Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada sesuatu yang asas iaitu susu pada setiap hari persekolahan.
"Dengan menggabungkan teknologi dan matlamat sasaran, kami dapat menyalurkan bantuan pemakanan secara konsisten dan berkesan terhadap mereka.
"Inisiatif ini juga dapat menyokong kehadiran murid ke sekolah supaya mereka tidak tercicir daripada pembelajaran dan berpeluang untuk menimba ilmu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YRMS Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata, pemakanan yang baik menjadi asas kepada keupayaan kanak-kanak untuk belajar, memberi tumpuan dan berkembang dengan baik di sekolah.
"Melalui Atlas Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian malah menghapuskan satu halangan penting terhadap pendidikan dan membekalkan tenaga serta peluang kepada kanak-kanak untuk mencapai impian mereka," katanya.
Dengan menyediakan sumber nutrisi yang konsisten, program itu diharap dapat membantu merapatkan jurang kesihatan kanak-kanak di samping meringankan beban keluarga yang berdepan tekanan ekonomi.
Sebagai kesinambungan inisiatif Hygiene Aid, Atlas Nutri Aid memanfaatkan mesin layan diri pintar serta sistem kad tap-and-go bagi membolehkan murid menerima bekalan nutrisi harian secara mudah, telus dan bersasar.
Kad tersebut diselaraskan dengan kalendar persekolahan bagi memastikan susu hanya boleh ditebus pada hari persekolahan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan ketirisan agihan.
Pendekatan berasaskan data ini membolehkan Atlas Vending memantau keberkesanan program di samping memberi pengalaman dan mendidik murid.