info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
featured_seasonal_and_gifts 0
hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

KUALI | Dunia

Kopi 'sachet' dianggap mewah! Ini 5 fakta menarik budaya 'mengopi' Korea Utara

Lead Image

KALAU di Malaysia, kopi paket biasanya sinonim dengan minuman yang mudah didapati, praktikal dan murah.

Hanya bancuh dengan air panas, secawan kopi pun siap untuk dinikmati.

Bagaimanapun situasi agak berbeza di Korea Utara apabila kopi paket atau segera dianggap sebagai minuman mewah kerana bekalannya yang terhad dan harganya lebih tinggi berbanding minuman biasa.

Malah, kopi yang suatu ketika dahulu bukan sebahagian daripada budaya minuman masyarakat Korea Utara kini semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan penduduk di Pyongyang.

Daripada kopi segera hinggalah kemunculan kafe moden, budaya ‘mengopi’ di Korea Utara dilihat berkembang secara perlahan-lahan.

Pernah terfikir tak bagaimana kopi menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di negara yang terkenal dengan kawalan ketat terhadap barangan import ini?

Ini lima fakta menarik mengenainya:

Kopi segera menjadi antara minuman yang dianggap mewah.

1. Kopi pernah dikaitkan dengan kapitalisme

Korea Utara sebenarnya lebih lama mengenali budaya minum teh, manakala kopi pula bukan minuman yang biasa dalam kehidupan masyarakat.

Malah, kopi pernah dianggap sebagai simbol kapitalisme kerana dikaitkan dengan budaya asing yang bertentangan dengan ideologi negara.

Bagaimanapun kopi tetap dinikmati oleh golongan tertentu misalnya bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il yang pernah dilaporkan gemar minum kopi.

Bekas Ketua Presidium Majlis Rakyat Tertinggi, Kim Yong Nam juga biasa menikmati roti, susu, mentega dan kopi ketika sarapan.

2. Minat terhadap kopi mula meningkat sejak 1990-an

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, budaya kopi di Korea Utara mula berkembang.

Memasuki awal tahun 2000, kopi semakin dikenali terutama dalam kalangan masyarakat Korea Utara yang berada di Pyongyang.

Data Organisasi Kopi Antarabangsa yang dipetik KBS World menunjukkan Korea Utara mengimport kurang dari 1,000 karung kopi setahun antara 1990 hingga 1999.

Pada 2012, jumlah itu meningkat kepada purata 19,000 karung setahun dan difahamkan setiap karung mempunyai berat sekitar 60 kilogram.

3. Kopi sachet dianggap minuman mewah

Kopi segera dalam paket kecil atau stick coffee turut popular di Korea Utara.

Minuman ini mempunyai kaitan dengan Kawasan Industri Kaesong apabila pekerja Korea Utara di situ pernah menerima kopi segera keluaran Korea Selatan.

Walaupun kawasan industri tersebut ditutup pada 2016, kopi sachet masih diminati dan ia juga sering dihidangkan kepada tetamu sebagai tanda penghormatan.

Disebabkan bekalannya yang terhad, kopi paket boleh dianggap sebagai minuman mewah di Korea Utara.

Ini berbeza dengan kebanyakan negara lain yang melihat kopi paket sebagai pilihan lebih murah dan praktikal.

Kopi turut dihidangkan kepada tetamu sebagai tanda penghormatan.

4. Kafe moden mula muncul di Pyongyang

Budaya kopi turut berkembang dengan kemunculan kafe moden, antaranya Sunrise Cafe di kawasan Munsu Water Park.

Pada 2012, foto Kim Jong Un bersama isterinya, Ri Sol Ju, ketika menikmati kopi di situ pernah menjadi perhatian ramai

Terdapat juga kafe di kompleks Haedanghwa yang menawarkan pelbagai pilihan kopi dan teh.

Mansugyo Soft Drink Shop pula terkenal dengan reka bentuk bangunan uniknya yang mempunyai bumbung menyerupai kelopak bunga terletak di tepi Sungai Pothong.

MENARIK DIBACA:  Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!

MENARIK DIBACA:  Daun bawang dah 4 hari potong masih segar! Cef kongsi tip elak potongan sayur cepat layu

5. Kopi tempatan juga mula berkembang

Minat terhadap kopi bukan hanya tertumpu di kafe apabila masyarakat Korea Utara juga mula menghidangkan kopi kepada tetamu di rumah dan pejabat.

Ada yang mula menghasilkan kopi sendiri, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap biji kopi, penapis dan pengisar.

Korea Utara turut menghasilkan produk kopi yang dicampur dengan ginseng merah, susu dan bahan berasaskan ginseng.

Bagaimanapun, pada November 2023, kesukaran mengimport biji kopi dilaporkan memberi kesan kepada operasi beberapa kedai kopi di negara tersebut.

Daripada minuman yang pernah dianggap asing, kopi kini semakin mendapat tempat di Korea Utara.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Viral

Pesan spageti aglio olio... Pelanggan dakwa peniaga guna pasta segera, letak harga kayangan

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Viral

Bubbles O2 tarik balik 14 'batch' produk susulan aduan bau, rasa pelik

Terhangat