[V] Dari Xiao Long Bao ke claypot kari kambing, Deeriang saji masakan Cina Muslim autentik
TIADA yang lebih memikat hati penggemar masakan Cina Muslim selain menikmati pau klasik yang terkenal dengan inti daging berjus dan kulitnya gebu.
Setiap gigitan terasa sempurna dek kulit pau nipis lembut dan dicicah pula bersama sos cuka hitam yang sedikit masam dan pedas memang kombinasi memuaskan.
Maka tak hairanlah hidangan ini menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia.

Bagi pencinta masakan Cina Muslim, Restoran Deeriang di Petaling Street, Kuala Lumpur ini adalah destinasi wajib untuk dicuba!
Walaupun baru dibuka, restoran ini sudah mendapat sambutan hangat dengan menu-menu yang pasti memikat hati, antaranya xiao long bao atau lebih dikenali sebagai pau.
Tak kiralah dikukus atau digoreng, hidangan unik ini hadir dengan pilihan inti daging, ayam atau sayur dengan harga sekitar RM12.80 – RM16.80 sahaja.

Untuk hidangan berat, anda wajib mencuba beberapa pilihan claypot yang terkenal antaranya kari kambing claypot dengan harga RM28.
Bayangkan daging kambing dimasak lama sehingga lembut disaluti kuah pekat kaya aroma rempah ratus wangi pasti memikat hati penggemar masakan Cina.
Mi pula kenyal dan terasa lebih padu hasil buatan tangan cef yang dimasak langsung dari dapur!
Tak kurang hebat, daging mala claypot berharga RM22 juga menjadi pilihan ramai.
MENARIK DIBACA: [V] Pan Mi di MadChilli buat teringat-ingat, paling best boleh ‘refill’ secara percuma!
MENARIK DIBACA: Tak perlu guna racun serangga, serbuk kopi dan daun pandan cara mudah singkirkan kamitetep
Daging lembut dimasak dalam kuah mala pedas wangi dengan rempah sichuan yang tak terlalu pedas sesuai untuk kanak-kanak.

Bagi pencinta kudapan ringan, otak-otak dengan inti ikan berperisa rempah Melayu lembut sangat sesuai untuk dinikmati.
Bayangkan, popiah otak-otak rangup digoreng keemasan dicicah pula bersama sos cili manis menjadi hidangan padu dengan harga hanya RM12.
Lokasi: Deeriang Restaurant, 48-G, Jalan Sultan, 50000 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (11 pagi hingga 11 malam)