[V] Gabungan rasa barat dan lokal fennel & co ditengah kehijauan Bukit Tunku

JIKA ada yang teringin merasai hidangan fusion, fennel & co mungkin adalah jawapannya.
Terletak di kawasan hijau di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, kafe berkenaan pastinya bakal menjadi pilihan generasi muda yang inginkan kelainan dan hidangan 'up to date' dengan trend semasa.
Baharu beroperasi sekitar Mei lalu, menu wajib cuba adalah spaghetti udang tomyam yang menjadi hidangan signature fennel & co.
Aroma daun limau purut dan serai yang menyengat, dipadankan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan udang harimau segar.
MENARIK DIBACA: Belum reda kegilaan tiramisu, kini giliran mochi yogurt jadi buruan
MENARIK DIBACA: Senang betul buat biskut mochi pandan, guna microwave pun boleh!
Apa membezakan dengan hidangan tomyam yang lain, di fennel & co ia menggunakan spaghetti sebagai sumber karbohidrat.
Bagi yang tak biasa, penggunaan spaghetti tidak merosakkan rasa tomyam sebaliknya kekenyalan memberikan lebih kepuasan apabila dihirup bersama kuahnya.
Juga, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri menu khas maca shuka, persilangan selera antara makaroni dan shakshuka.
Anda juga tidak akan menyesal jika memilih sajian popular barat, biiig breakfast cukup terkenal di sini.
Lengkap dengan sosej ayam dan daging lembu diawet lembut, padanan omelet dimasak sempurna, cendawan dan roti bakar, saiz hidangan menu ini cukup mengenyangkan.

Kehalusan rasa lokal
Jika sajian lokal dicari, assam pedas barramundi, hidangan klasik yang diberi nafas baru dibawa ke tahap elegan.
Menggunakan isi ikan siakap dimasak perlahan dalam kuah asam pedas berempah buatan sendiri, hidangan ini menggabungkan rasa masam, pedas dan aroma herba tradisional.
Selain itu, menu Kari Kambing yang mewah dengan aroma rempah, daging kambing dimasak empuk bersama kuah kari pekat dihidangkan bersama nasi putih, juga antara menu wajib anda cuba.

Cipta momen manis
Tak lengkap jika sesi jamu selera tak diakhiri dengan pemanis mulut. Sekiranya anda menggemari rasa masam manis antara laici dan rasberi, raspberry lychee tart adalah pilihan.
Boleh juga cuba chocolate hazelnut tart bersama cheesecake yang tidak menjemukan.
Variasi minuman di fennel & co juga menguji kebiasaan selera apabila kunyit dijadikan hidangan menyegarkan tekak menerusi ginger lemon turmeric atau masam manis sour boi & co dan lemongrass pandan ginger yang unik dengan rasa serai dan halia.

Kafe itu juga merupakan sebahagian daripada The Stories of Taman Tunku, kawasan menempatkan pelbagai kedai dan restoran menarik.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melawat laman web thestories.com.my.
Lokasi : Lot B1 dan B2, Taman Tunku, off Jalan Langgak Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari 8:00 pagi hingga 6:00 petang.