Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
SEORANG pemuda berkongsi pengalaman ketika berbelanja di sebuah kedai runcit apabila dia enggan membeli cili yidu (sejenis cili kering) selepas mendapati keadaannya sudah tidak elok.
Menerusi perkongsian di Threads, lelaki yang merupakan graduan dalam bidang teknologi makanan itu berkata, pemilik kedai cuba meyakinkannya bahawa cili berkenaan masih selamat digunakan.
"Saya cakap dekat tauke (pemilik) kedai, saya tak mahu sebab cabai ni dah tak elok. Dia pujuk lagi cakap cabai ni memang macam ni.
"Mama saya dah excited sebab jumpa cabai ni banyak tapi saya tetap berkeras tak mahu beli. Sia-sia saya ambil ijazah teknologi makanan empat tahun kalau benda macam ni saya tak tahu.
"Tauke tu salah orang nak pujuk beli cabai dia," tulisnya.
Menurut pemuda itu, permukaan cili yang kelihatan seperti berdebu sebenarnya merupakan kulat yang menghasilkan aflatoksin.
Dia menjelaskan, aflatoksin ialah sejenis toksin yang tidak hilang walaupun bahan makanan itu dibasuh atau dimasak menggunakan suhu tinggi.
"Debu ni sejenis kulat. Kita panggil aflatoksin.

"Bila dah cuci dan masak dengan air panas pun takkan mati. Rebus banyak kali pun kulat tu takkan mati kerana ia tahan haba yang tinggi sehingga lebih 260 darjah celsius.
"Bila masuk dalam badan ia boleh menyebabkan keracunan makanan dan mencetuskan sel-sel kanser," jelasnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang berkongsi pengalaman masing-masing.
Seorang pengguna mendakwa aflatoksin turut memberi kesan kepada haiwan ternakan sekiranya terkandung dalam dedak.
"Aflatoksin ni kalau ada pada dedak kemudian diberi kepada ternakan, haiwan boleh bantut sebab ia mengganggu penyerapan nutrisi. Makan banyak mana pun tetap bantut," tulisnya.
MENARIK DIBACA: Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
MENARIK DIBACA: Rahsia orang Jepun kurus walau makan nasi 3 kali sehari, kadar obesiti antara terendah di dunia
Selain itu, ada juga netizen yang mengakui pernah mengalami sakit perut dan cirit-birit selepas menggunakan cili yang mempunyai tompokan kulat hitam.
"Setiap kali beli cabai ni dulu lepas masak mesti sakit perut dan cirit-birit. Lepas tu baru perasan dalamnya ada kulat hitam. Sekarang setiap kali beli memang saya koyakkan dulu untuk periksa sebelum simpan dalam peti sejuk beku.
"Mikotoksin, boleh menyebabkan kanser kalau kita masih masak dan makan makanan lama yang dah luput. Nampak macam elok lagi tapi bawah microskop baru nampak segala jenis kulat. Kulat yang tak mati walaupun dimasak sekali pun," antara komen netizen.
Dalam pada itu, ramai turut menasihatkan pengguna lain supaya memeriksa keadaan cili sebelum membeli dan memilihnya sendiri jika berpeluang serta membuat pembelian dalam kuantiti kecil kerana jenis cili ini mudah berkulat.
"Cili yidu ni senang berkulat dan kalau pergi pasar minta orang kedai ambilkan susah sikit nak percaya. Dia main sauk (ambil) je. Biasanya saya sendiri minta nak pilih kalau kat kedai Acheh atau pasaraya boleh pilih sendiri. Sekali beli tak banyak sebab cepat berkulatnya. Beli sikit-sikit je habis beli lagi," komen warganet lagi.
Tak kurang juga yang berkongsi tip menyimpan cili di dalam beg kedap udara atau ziplock di bahagian chiller bagi membantu memanjangkan tempoh jangka hayatnya.
Cili yidu (turut dikenali sebagai cili kering gemuk) ialah sejenis cili yang berasal dari Shandong, China dan terkenal kerana kurang pedas, saiz besar dan menghasilkan warna merah cantik dalam masakan.