Murah, kecil tapi jangan pandang rendah ikan sardin! Nutrisinya kalah makanan laut lain
JANGAN sesekali pandang rendah terhadap saiz ikan sardin yang kecil kerana hakikatnya ia tergolong dalam makanan yang paling padat nutrien.
Sardin bukan sahaja mudah didapati dan harganya berpatutan, malah turut membekalkan pelbagai vitamin dan mineral penting yang menyokong kesihatan tubuh.
Ramai menganggap sardin sekadar lauk harian atau makanan dalam tin, namun kajian menunjukkan ikan ini mengandungi gabungan nutrien yang sangat baik untuk kesihatan otak, jantung, tulang dan sistem saraf.
Memetik laporan chiefchefskills, sardin juga mempunyai kandungan merkuri yang jauh lebih rendah berbanding kebanyakan ikan besar.

Antara manfaat dan kelebihan sardin adalah seperti berikut:
1. Kaya asid lemak omega-3
Sardin merupakan sumber semula jadi asid lemak omega-3, termasuk DHA (docosahexaenoic acid), yang memainkan peranan penting dalam fungsi otak dan sistem saraf.
Beberapa kajian yang dijalankan turut mendapati sardin menyokong perkembangan otak selain membantu mengekalkan daya ingatan dan kesihatan kognitif.
Pada masa sama, sardin turut diakui memiliki kelebihan menyokong kesihatan sistem saraf, serta membantu mengurangkan keradangan dalam badan.
2. Sumber protein berkualiti tinggi
Sardin mengandungi protein lengkap yang diperlukan tubuh untuk membina dan membaiki tisu, menghasilkan hormon serta mengekalkan jisim otot.
Protein juga membantu memberikan rasa kenyang lebih lama, sekali gus sesuai untuk individu yang ingin mengawal berat badan atau mengamalkan pemakanan sihat.
MENARIK DIBACA: Memasak pun boleh 'top up' pahala... Ini amalan, cara nak beribadah di dapur
MENARIK DIBACA: [V] Yusuf Bahrin kenang zaman nakal ponteng puasa... “Gigi depan saya patah gara-gara ayam goreng”
3. Vitamin dan mineral penting
Selain omega-3, sardin turut mengandungi pelbagai nutrien penting seperti vitamin D, vitamin B12 dan selenium yang membantu menyerap kalsium serta menyokong kesihatan tulang.
Bukan itu sahaja, kandungan vitamin B12 turut membantu pembentukan sel darah merah dan fungsi saraf selain bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel daripada kerosakan akibat radikal bebas.
4. Kesihatan tulang
Sardin lazimnya dimakan bersama tulangnya yang lembut, terutamanya sardin dalam tin. Tulang sardin kaya dengan kalsium yang mudah diserap oleh tubuh (bioavailable calcium), sekali gus membantu menguatkan tulang dan gigi.
Selain itu, mengamalkan pengambilan sardin dua kali seminggu turut membantu mengurangkan risiko kehilangan kepadatan tulang apabila meningkat usia selain menyokong fungsi otot dan saraf.
6. Rendah kandungan merkuri
Salah satu kelebihan utama sardin ialah kandungan merkurinya yang rendah berbanding ikan pemangsa bersaiz besar seperti tuna.
Ini kerana sardin berada di kedudukan lebih rendah dalam rantaian makanan laut, menyebabkan pengumpulan merkuri dalam badannya jauh lebih sedikit.

Justeru sardin dianggap sebagai pilihan makanan laut yang lebih selamat untuk dimakan secara berkala sebagai sebahagian daripada diet seimbang.
Secara umum, sardin boleh dijadikan sebahagian daripada diet sihat dengan menikmatinya beberapa kali seminggu bersama makanan lain yang seimbang seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.
Bagaimanapun, bagi mereka yang memilih sardin dalam tin, adalah disarankan untuk menyemak kandungan natrium pada label pemakanan kerana sesetengah produk mengandungi garam yang agak tinggi.