Pakar AS saran 5 rambutan seminggu baik untuk kesihatan - "Orang Malaysia makan selagi tak batuk"
BAGI masyarakat di Asia Tenggara, rambutan merupakan buah bermusim yang boleh dinikmati tanpa had terutama di kawasan kampung apabila setiap rumah memiliki pokok sendiri.
Bagi masyarakat luar terutama di negara barat, rambutan dianggap sebagai buah 'rare' yang kaya dengan khasiat 'fitonutrien'.
Menerusi perkongsian ahli kimia organik dari Amerika Syarikat (AS), Dr Dan Gubler dalam Instagram miliknya, dia mendedahkan kebaikan rambutan dari sudut sains apabila menganggap buah itu sebagai 'superfood'.

Menurut Dr Gubler yang juga pakar dari California Institute of Technology itu, rambutan bukan sekadar buah dengan rasa manis, malah ia mengandungi sebatian aktif yang sangat baik untuk tubuh manusia.
Antara kebaikan dan kelebihan rambutan adalah seperti berikut:
1. Perisai Anti-Penuaan & Antioksidan
- Rambutan kaya dengan vitamin C dan sebatian polifenol. Antioksidan ini berfungsi meneutralkan radikal bebas, melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan dan membantu mengekalkan keremajaan kulit dari dalam.
2. Kesihatan jantung lebih terjaga
- Kandungan kalium (potasium) yang tinggi dalam buah ini membantu mengawal tekanan darah dan menyokong fungsi kardiovaskular yang optimum.
3. Menguatkan tulang
- Dr Gubler membandingkan rambutan dengan buah laici dan mendapati rambutan mempunyai kandungan mangan (manganese) yang lebih tinggi. Mangan ialah mineral penting untuk pembentukan dan kepadatan tulang yang kuat.
4. Menjaga sistem penghadaman
- Serat semula jadi dalam isi rambutan membantu memberi sumber kepada bakteria baik dalam usus, sekali gus melancarkan proses pencernaan.
MENARIK DIBACA: Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
MENARIK DIBACA: 'Terbang' RM2,000, individu terkejut kena kompaun berniaga dari rumah - "Bau ayam goreng masuk rumah jiran"
Di penghujung videonya, Dr Gubler memberikan beberapa tip dan cara makan yang menghiburkan netizen Malaysia apabila menyarankan orang ramai untuk makan lima biji rambutan seminggu.
Ternyata saranan tersebut disambut baik netizen tetapi lima biji rambutan itu dianggap terlalu sedikit terutama bagi masyarakat di Asia Tenggara.
"Lima biji seminggu? 'Bro' kami di Asean makan rambutan sekurang-kurangnya dua kilogram setiap kali musim.
"Kita orang Malaysia selagi tak batuk dan sakit tekak, selagi tu makan.
"Lima biji itu terlalu sedikit untuk kami yang mempunyai pokok rambutan di rumah," antara komen netizen.

Walaupun kuantiti lima biji rambutan yang disarankan Dr Gubler agak mustahil untuk diikuti penduduk di Asia Tenggara termasuk Malaysia, perkongsian tersebut membuka mata dunia bahawa buah tropika kita juga mempunyai nilai nutrisi yang setanding dengan buah-buahan premium luar negara.
Jadi, tiada masalah untuk menikmati rambutan pada musimnya, cuma pastikan anda mengimbangi pengambilan gula harian dan sentiasa aktif.