Rahsia orang Jepun kurus walau makan nasi 3 kali sehari, kadar obesiti antara terendah di dunia
RAMAI yang menganggap nasi adalah musuh utama bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan.
Malah, ada yang sanggup mengurangkan pengambilan atau terus berhenti makan nasi kerana bimbang berat badan akan meningkat.
Bagaimanapun tanggapan itu seolah-olah tidak terpakai di Jepun walaupun masyarakat mereka menikmati nasi hampir setiap hari pada waktu sarapan, makan tengah hari dan malam.
Meskipun begitu, Jepun kekal menjadi antara negara yang mempunyai kadar obesiti paling rendah di dunia dan persoalannya, apakah rahsia mereka?
Di Jepun, nasi menjadi makanan ruji rakyatnya dan saiz hidangan mereka jauh lebih kecil berbanding kebanyakan negara lain.
Secara purata, satu hidangan nasi di Jepun hanyalah sekitar 140 gram atau kira-kira 200 kalori.

Bagi waktu sarapan, nasi biasanya dihidangkan bersama ikan, sayur-sayuran dan makanan berkhasiat lain yang membantu memastikan jumlah kalori harian kekal terkawal.
Pakar pemakanan menjelaskan amalan ini tidak menghapuskan karbohidrat sepenuhnya sebaliknya pengambilan dalam kuantiti sederhana dapat membekalkan tenaga tanpa berlebihan.
Selain nasi, sup miso turut menjadi hidangan wajib dalam menu harian masyarakat Jepun dan ada yang menikmatinya sehingga dua atau tiga kali sehari.
Kajian menunjukkan pengambilan sup sebelum hidangan utama boleh meningkatkan rasa kenyang sekali gus membantu mengurangkan jumlah atau kuantiti makanan yang dimakan.
MENARIK DIBACA: Titik terendah pelanggan! Lepas 'mengemis' duit ibu nak beli nasi, rider letak pesanan di tong sampah
MENARIK DIBACA: Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
Hidangan tradisional Jepun lazimnya terdiri daripada nasi, sup, jeruk serta beberapa lauk dalam saiz kecil.
Budaya menikmati snek di antara waktu makan juga tidak begitu popular seperti di negara barat.
Malah, makan sambil berjalan atau ketika dalam perjalanan menggunakan pengangkutan awam dianggap tidak sopan.

Amalan ini secara tidak langsung menggalakkan masyarakat Jepun makan dengan lebih fokus dan mengikut keperluan tubuh bukannya kerana tabiat.
Tambahan pula, aktiviti sihat seperti berjalan kaki dan berbasikal masih menjadi pilihan ramai untuk melakukan urusan harian terutama bagi perjalanan jarak dekat.
Di samping itu, penggunaan tikar tatami (pelapik lantai tradisional Jepun diperbuat daripada anyaman jerami padi) dan budaya duduk di lantai dalam sesetengah rumah tradisi juga membuatkan tubuh lebih banyak bergerak berbanding hanya duduk di sofa dalam tempoh lama.
Walaupun Jepun turut menerima pengaruh pemakanan barat sejak beberapa dekad lalu, kadar obesiti negara itu masih jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara maju.
Menurut pakar, gabungan saiz hidangan kecil, aktiviti fizikal yang konsisten dan disiplin dalam pemakanan menjadi antara faktor utama menyumbang kepada tahap kesihatan masyarakat Jepun.
Hakikatnya, nasi bukanlah punca utama berat badan meningkat.
Sebaliknya, cara seseorang menikmati makanan, saiz hidangan dan gaya hidup harian memainkan peranan lebih besar dalam menentukan kesihatan serta berat badan dalam jangka panjang.