Istimewanya halia... Tak hanya sedapkan masakan, disebut juga dalam al-Quran
HALIA menjadi antara bahan wajib digunakan dalam kebanyakan masakan Melayu, termasuklah hidangan bersup, gulai dan lain-lain.
Selain menambahkan aroma serta rasa dalam makanan, halia juga digunakan secara tradisional untuk membantu melegakan ketidakselesaan perut seperti kembung atau rasa mual.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, bahan ini ada disebut dalam al-Quran sebagai sebahagian daripada gambaran minuman yang dinikmati penghuni syurga.
"Setiap rumah wajib ada halia. Tapi apa kelebihan halia sampai Allah ada sebut dalam al-Quran?

"Halia hasil semula jadi yang Allah jadikan dengan pelbagai fungsi. Kadang-kadang bila perut masuk angin, kita minum teh halia untuk mengurangkan kembung perut.
"Tak pun waktu demam, kita buat sup dan lebihkan halia untuk melegakan badan yang tak sihat," katanya.
Tambah wanita itu lagi, halia mengandungi gingerol iaitu sebatian semula jadi yang dikaji kerana potensi sifat anti-radang serta manfaatnya terhadap sistem pencernaan.
"Sebenarnya halia ada gingerol yang menurut kajian mempunyai potensi sifat anti-radang dan menyokong proses pencernaan.
MENARIK DIBACA: 3 kali disebut dalam al-Quran, ini 6 sebab buah delima dianggap 'superfood'
MENARIK DIBACA: Minuman herba halia bakar dikatakan bagus minum waktu pagi
"Jadi, jangan risau kalau mak-mak masak lebihkan halia. Kalau korang rasa mual atau perut tengah tak selesa, boleh cuba teh halia," ujarnya.
Halia disebut sebagai bahan campuran minuman yang diberikan kepada penghuni syurga, menurut surah al-Insan, ayat 17.
Firman Allah SWT:
“Dan mereka di dalam Syurga itu, diberi minum segelas (minuman) yang campurannya daripada 'zanjabil' (halia).”
(Surah al-Insan, ayat 17)
