Bukan rehat minum biasa... Ini sebab 'hydration break' diwujudkan dalam setiap perlawanan Piala Dunia FIFA 2026
SETIAP kali pengadil meniup wisel untuk memberikan laluan kepada 'hydration break' atau waktu rehat minum sepanjang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, mungkin ada penonton berasa sedikit kecewa atau rimas.
Di sebalik rehat selama tiga minit itu, ada individu yang dikatakan paling gembira setiap kali segmen tersebut muncul di kaca televisyen, iaitu legenda bola sepak dunia, David Beckham.
Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan LA Galaxy itu dilaporkan meraih pendapatan luar biasa sehingga AS$23 juta (kira-kira RM100 juta) sepanjang kejohanan berlangsung hasil kerjasama komersial berkait rapat dengan segmen 'hydration break'.

Dari sudut pandang penonton pula, ramai melihat tempoh waktu rehat minum selama tiga minit itu terlalu singkat, malah sangat mengganggu keterujaan mereka menonton bola sepak.
Hakikatnya, 'hydration break' kini dilihat sangat penting sehingga segmen tersebut wajib dilaksanakan di Piala Dunia 2026 oleh FIFA, selepas mengambil kira beberapa faktor di lokasi tuan rumah iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Apakah sebenarnya 'hydration break' dan mengapa ia diperkenalkan pada Piala Dunia FIFA 2026?
- 'Hydration break' atau dahulunya dikenali sebagai 'cooling break', mula diperkenalkan secara rasmi dalam sejarah Piala Dunia FIFA pada 29 Jun 2014.
- Detik bersejarah ini berlaku semasa perlawanan pusingan 16 terakhir antara Belanda menentang Mexico di Stadium Castelao, Fortaleza, Brazil.
- Pengadil perlawanan, Pedro Proenca menghentikan permainan pada minit ke-32 dan minit ke-76 selepas suhu di dalam stadium mencecah 39 darjah Celsius.
- Sebelum ini 'hydration break' hanya diberikan mengikut budi bicara pengadil ketika cuaca terlalu panas.
- Untuk edisi Piala Dunia FIFA 2026, 'hydration break' diwajibkan oleh FIFA di semua perlawanan yang berlangsung.
- Aturan ini diwajibkan oleh FIFA pada setiap babak, iaitu sekitar minit ke-22 dan minit ke-67.
- Pemain diberikan masa tepat tiga minit untuk minum air sebelum perlawanan disambung semula.
- Langkah tersebut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha FIFA melindungi kebajikan pemain selepas mengambil kira faktor cuaca panas dan kelembapan tinggi yang dijangka melanda beberapa bandar tuan rumah.
- Selain rehat dan minum, tempoh singkat itu turut dimanfaatkan jurulatih untuk menyampaikan arahan taktikal, mengubah strategi permainan serta memberi ruang kepada pemain memulihkan tenaga sebelum aksi disambung semula.
MENARIK DIBACA: Pakar AS saran 5 rambutan seminggu baik untuk kesihatan - "Orang Malaysia makan selagi tak batuk"
MENARIK DIBACA: Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
Kepentingan 'hydration break' dari aspek kesihatan, keselamatan dan prestasi pemain di atas padang:
- Menurunkan suhu teras badan yang meningkat akibat cuaca ekstrem.
- Menggantikan cecair badan yang hilang dengan cepat melalui peluh.
- Memastikan otot mendapat bekalan air dan elektrolit yang cukup untuk terus berfungsi.
- Mengelakkan pemain daripada cepat letih akibat kekurangan air.
- Kekurangan cecair badan boleh menjejaskan tumpuan, koordinasi dan keupayaan membuat keputusan pantas.
- Membantu proses pemulihan otot bermula lebih awal semasa perlawanan masih berlangsung.
- Memastikan kedua-dua pasukan mendapat peluang yang sama untuk memulihkan fizikal tanpa mengira kedudukan posisi di padang.

Walaupun bertujuan menjaga kesihatan pemain, aturan ini tetap menimbulkan kontroversi sehingga menerima banyak kritikan daripada peminat, pengurus malah pemain sendiri kerana alasan berikut:
- Merosakkan corak taktikal, rentak permainan, dan fokus pasukan yang sedang rancak menyerang.
- Didakwa sengaja diwujudkan untuk memberi ruang kepada stesen televisyen menyiarkan iklan komersial.
- Tetap dilaksanakan walaupun perlawanan berlangsung di dalam stadium beratap tertutup atau di kawasan bersuhu rendah.
Bagaimanapun, pihak FIFA menegaskan bahawa keputusan ini murni atas faktor kesukanan dan keadilan bagi memastikan semua pasukan bermain dalam keadaan fizikal yang selamat.