Pelanggan dakwa nampak lipas dekat mesin aiskrim, Ikea ambil tindakan segera
SEORANG lelaki mendakwa menemui seekor lipas berhampiran mesin aiskrim di Bistro Ikea Cheras, kurang dua minggu selepas restoran Sweden di cawangan berkenaan dibuka semula susulan arahan penutupan sementara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perkara itu dikongsikan menerusi platform Threads oleh pengguna berkenaan yang turut memaparkan bukti serangga itu dilihatnya.
Dalam hantaran tersebut yang dibuat pada 4 Julai lalu, dia memuat naik beberapa gambar dan video menunjukkan seekor lipas berkeliaran berhampiran mesin aiskrim di kafe berkenaan.
"Nak ambil aiskrim tadi terkejut ada lipas! Bukan baru lepas kena tutup dengan KKM ke? Ke ni normal korang?" tulisnya.
Mengulas mengenai video tular itu, Ikea Malaysia dalam satu kenyataan berkata pihaknya segera mengambil tindakan dengan menjalankan pemeriksaan di kawasan terjejas termasuk semua mesin aiskrim di premis berkenaan.
Menurut syarikat itu, sebagai langkah berjaga-jaga, kawasan ruang terbabit menjalani pembersihan menyeluruh selain rawatan kawalan serangga dan pemeriksaan lanjut.
Ikea Malaysia menegaskan bahawa aspek keselamatan makanan, kebersihan dan kualiti sentiasa menjadi keutamaan dalam operasinya.

Menurut kenyataan Ikea lagi, rawatan kawalan serangga dan pemeriksaan dilaksanakan setiap minggu di semua operasi makanannya sebagai sebahagian daripada program kebersihan yang diamalkan.
Selepas insiden tersebut, rutin pemantauan dan pemeriksaan turut diperkukuhkan sebagai langkah tambahan bagi memastikan piawaian kebersihan terus dipatuhi.
Dalam masa sama, Ikea Malaysia merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang memaklumkan mengenai kejadian itu dan menyifatkan maklum balas pelanggan sebagai elemen penting dalam usaha penambahbaikan berterusan.
MENARIK DIBACA: Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
MENARIK DIBACA: Atikah Suhaime masak sup ekor resipi arwah datuk, ada memori di sebalik sajian - "Semakin hari makin masin"
Bagaimanapun menurut syarikat itu, Bistro Ikea Cheras tidak ditutup dan terus beroperasi seperti biasa.
Pasukan restoran juga telah memeriksa insiden berkenaan serta melaksanakan langkah berjaga-jaga yang diperlukan, termasuk pembersihan menyeluruh di kawasan terlibat dan rawatan kawalan serangga yang dijadualkan pada 4 Julai.
Ikea Malaysia turut menjelaskan bahawa insiden itu hanya melibatkan Bistro Ikea Cheras dan tidak menjejaskan restoran Sweden Ikea Cheras atau mana-mana restoran, kafe serta Bistro Ikea lain di seluruh negara.
Syarikat itu menegaskan komitmennya untuk terus mengekalkan piawaian ketat dalam aspek keselamatan makanan dan kebersihan di semua operasi makanannya.