Harga naik, berlaku lambakan beras di gudang seluruh Jepun! Rakyat mula tinggalkan nasi
BERAS sejak sekian lama menjadi makanan ruji rakyat Jepun, namun kebiasaan itu mula berubah apabila harga beras tempatan meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kenaikan harga itu membuatkan ramai pengguna mengurangkan pengambilan nasi dan memilih makanan alternatif yang lebih murah seperti ramen.
Kesannya, jutaan tan stok beras tempatan kini dilaporkan tidak terjual serta tersimpan di gudang pemborong seluruh Jepun.

Menurut data Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, sehingga akhir Mac lalu terdapat sekitar 2.7 juta metrik tan beras dalam simpanan, meningkat hampir 54 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah itu juga menjadi antara rekod tertinggi sejak 2009 dan dianggarkan bersamaan hampir 40 peratus keperluan domestik Jepun dalam tempoh setahun.
MENARIK DIBACA: Santan segar pekat semacam, pembeli syak campur tepung! Hasil 'uji kaji' mengecewakan
MENARIK DIBACA: Beli laksam, dapat mi chee cheong fun! Pembeli kena tipu hidup-hidup
Selain hasil tuaian musim luruh 2025 yang lebih tinggi, faktor utama lambakan tersebut dipercayai berpunca daripada penurunan permintaan pengguna.
Ketika penghujung pandemik Covid-19, beras tempatan pek 5 kilogram dijual sekitar 2,000 yen (RM60), namun selepas itu banyak produk mencecah lebih 4,000 yen (RM120) bagi setiap pek berkenaan.

Bukan sahaja pengguna biasa, restoran, kedai bento dan premis onigiri turut terkesan dengan kenaikan harga itu sehingga ramai memilih menggunakan beras import yang lebih murah bagi mengurangkan kos operasi.
Sepanjang 2025, import beras Jepun dari Amerika Syarikat meningkat sehingga 95 kali ganda berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah import keseluruhan dari pelbagai negara naik 104 kali ganda berbanding 2024.
Dalam masa sama, ramai pengguna berpendapat penjual beras lambat menurunkan harga walaupun stok semakin bertambah, sekali gus memperlihatkan perubahan besar budaya pemakanan masyarakat Jepun hari ini.