Tiga ikan popular ini makin pupus di lautan, jarang nampak dijual di pasaran
BEBERAPA spesies ikan yang dulu cukup sinonim dengan hidangan laut tempatan kini semakin jarang ditemui malah ada yang berdepan ancaman pupus.
Memetik laporan The Star, Jabatan Perikanan menegaskan situasi ini bukan sekadar isu kecil, sebaliknya petanda kepada krisis besar yang sedang berlaku di dasar perairan negara tanpa kita sedari.
Ketua Pengarahnya, Adnan Hussain berkata, antara spesies yang semakin jarang dilihat termasuklah ikan mameng, ikan yu kemejan dan pari kemejan.
"Dulu lauk-lauk ini biasa kita jumpa di pasar, malah jadi sebahagian daripada budaya makanan laut tempatan.

"Tapi hari ini, bilangannya merosot teruk, sampai ada yang hampir langsung tidak ditemui di banyak kawasan perairan Malaysia," katanya.
Ikan mameng misalnya, ia kini diklasifikasikan sebagai spesies terancam selepas jumlahnya menurun, malah hampir 'hilang' di kebanyakan kawasan terumbu karang.
Manakala, ikan yu kemejan pula lebih membimbangkan apabila rekod pendaratan menunjukkan hanya dua ekor saja ditemui pada tahun 2018 dan cuma seekor pada 2021 di Kota Kinabalu, Sabah.
Walaupun pari kemejan masih ada, keadaannya tetap membimbangkan memandangkan sekitar 83 peratus yang ditangkap adalah ikan muda dan belum sempat membiak.
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi petua nelayan, penjual ikan.... Seafood, daging kekal segar lepas sebulan
MENARIK DIBACA: Sedapnya rasa masam, pedas ikan tenggiri masak cincuan... Lauk lain dah tak perlu!
Dalam masa yang sama, Adnan memberitahu stok ikan lain seperti kerapu dan ikan merah juga menunjukkan penurunan mendadak sejak beberapa dekad lalu.
"Di sesetengah kawasan, kadar tangkapan jatuh sehingga 96 peratus, dengan jumlah keseluruhan kini hanya sekitar enam peratus daripada paras asal,” jelasnya.
Tangkapan ikan merah kini dikategorikan sebagai melebihi kebiasaan di kawasan pesisir, manakala kumpulan ikan talang pula semakin jarang kelihatan.
Ikan tenggiri masih ada di pasaran, tapi saiz besar yang matang semakin susah ditemui turut menunjukkan petanda tekanan penangkapan yang berterusan.

Populasi ikan lain seperti ikan kakatua dan ikan pari juga semakin menurun, berpunca daripada aktiviti tangkapan berlebihan, kerosakan terumbu karang dan pukat tunda di kawasan pantai.
Keadaan jadi lebih teruk disebabkan aktiviti penangkapan haram, pencemaran laut serta kemusnahan ekosistem penting seperti terumbu karang, padang lamun dan hutan bakau yang merupakan 'nurseri' semula jadi untuk hidupan laut membiak.
Perubahan iklim mengakibatkan kenaikan suhu laut sekali gus meningkatkan fenomena pelunturan karang dan pengasidan laut yang memberi tekanan kepada ekosistem marin.
Walaupun pelbagai usaha penguatkuasaan dilakukan termasuk menangkap hampir 1,000 kesalahan berkaitan pukat tunda antara 2020 hingga 2025, proses pemulihan bukanlah sesuatu yang mudah.
Realitinya, bukan sekadar pihak berkuasa malah kerjasama dalam kalangan penduduk tempatan juga diperlukan untuk memperbaiki keadaan ini.
