Pengalaman aneh beli bubur candil... Peniaga 'kreatif' olah resipi, guna isi makaroni
BAYANGKAN anda membeli juadah berbuka puasa yang nampak menyelerakan dan tak sabar menunggu azan Maghrib untuk menikmati sajian itu sepuas-puasnya.
Bagaimanapun sebaik sahaja membuka bekas makanan, rasa teruja bertukar hampa apabila makanan yang dibeli tidak seperti diharapkan.
Begitulah yang terjadi kepada seorang pengguna Threads apabila mendapati bubur cendil yang dibelinya di bazar Ramadan mengandungi makaroni.

Wanita itu meluahkan rasa hairan apabila melihat hidangan tradisional berkenaan ‘ditambah’ bahan yang dianggap tidak sesuai dengan identitinya.
“Pergi bazar nak 'support' peniaga. Sekali kena scam. Nak beli bubur candil, tapi isinya makaroni.
“Sejak bila ada resipi baharu tambah makaroni ni. Terus tak lalu makan. Korang kena scam apa hari ini dekat bazar?” tulisnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
MENARIK DIBACA: Nampak peniaga bazar Ramadan tak puasa, beli atau boikot? UAI beri penjelasan
MENARIK DIBACA: Peniaga bazar perlu patuh 4 syarat ini sebelum berniaga, pakai cincin antara larangan ketika kendali makanan
Rata-rata terkejut melihat gabungan yang dianggap pelik itu, malah ada yang menyifatkannya sebagai cubaan peniaga untuk mengaut lebih keuntungan atau menganggap pembeli tidak tahu resipi asal.
Namun, tidak kurang juga yang tampil mempertahankan peniaga dengan mengatakan penggunaan makaroni bukanlah perkara asing dan sudah biasa dilihat.
Secara tradisionalnya, bubur candil diperbuat daripada bebola tepung pulut yang kenyal, dimasak dalam kuah gula Melaka pekat bersama santan lemak.
Tekstur lembut dan rasa manis berlemak itulah yang menjadi tarikan utama pencuci mulut klasik ini.

Penggunaan makaroni sebagai pengganti bebola tepung mungkin sudah lama wujud di sesetengah tempat atau menjadi amalan dalam sesetengah keluarga dan mungkin juga kreativiti peniaga sendiri.
Namun tanpa penjelasan awal kepada pembeli, ia akan membuatkan pembeli berasa tertipu kerana jangkaan awal mereka terhadap hidangan tradisional itu berbeza.
Sekadar peringatan, dalam keghairahan berniaga, aspek bahan dan keaslian resipi juga perlu diambil kira supaya pelanggan tidak rasa tertipu dengan pengolahan sajian sedemikian.
