Spritzer tampil beri penjelasan, pengguna dakwa air bau macam petai dan rasa aneh
SEJAK beberapa hari lalu, tular di media sosial mendakwa air botol mineral semula jadi jenama Spritzer dikatakan berbau petai.
Tidak hanya itu, pengguna mendakwa air Spritzer juga mempunyai rasa aneh yang tidak dapat digambarkan.
Mengambil kira aduan pengguna, Spritzer berjanji akan menjalankan ujian terperinci dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan pelanggan.

Spritzer dalam satu kenyataan di media sosial menjelaskan pihaknya sedang menjejaki kelompok pengeluaran selain melakukan ujian terperinci serta audit terhadap pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan.
"Spritzer mengambil maklum mengenai maklum balas tentang bau tidak menyenangkan pada beberapa botol Spritzer Natural Mineral Water dan kami memohon maaf atas kesulitan ini," kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, pihak Spritzer menjelaskan ujian awal mengesahkan air tersebut selamat diminum dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Jelas Spritzer lagi, air botol boleh menyerap bau jika disimpan berhampiran bahan berbau kuat.
MENARIK DIBACA: Asyik kejar views, sampai melayang nyawa... 5 ‘mukbangers’ popular ini maut akibat makan berlebihan
MENARIK DIBACA: [V] Perut lapar tapi malas masak... Tempe goreng berapi mudah dibuat, jadi pembangkit selera
Justeru, pihak pengeluar minuman tersebut menasihati orang ramai untuk menyimpan air botol di tempat sejuk, kering dan habiskan dengan segera selepas dibuka.
Menurut Sprtizer, untuk bantuan atau penukaran, pelanggan hanya perlu mengemukakan kod kelompok, butiran pembelian dan nombor untuk dihubungi melalui 1800-88-311 atau info@spritzer.com.my.
Aduan juga boleh dikemukakan menerusi WhatsApp di 017-435 3663 atau 012-979 2663.