Roti canai antara 50 sarapan terbaik di dunia, kalahkan bubur ayam dan nasi goreng Indonesia
SELAIN nasi lemak, roti canai antara menu yang menjadi simbol identiti segenap lapisan rakyat di Malaysia.
Ibaratnya sehari tidak 'pekena' roti canai, boleh tak tidur malam dibuatnya sebagai teringat-ingatkan keenakannya.
Hendak pula dicicah dengan kari atau dal, calit sedikit dengan sambal memang syahdu!
Roti canai kini semakin mendunia malah cukup digemari oleh pelancong asing yang akan mencari hidangan tersebut setiap kali datang ke negara ini.

Jadi tak hairanlah roti canai menduduki tangga ke-11 dalam senarai 50 Sarapan Pagi Terbaik di Dunia (50 Best Breakfast) menerusi tinjauan dibuat oleh TasteAtlas.
Apa lebih membanggakan, roti canai memperoleh 4.5 bintang!
Pengiktirafan roti canai yang dianggap sebagai hidangan jalanan itu sekali gus menuai rasa bangga masyarakat di Malaysia apabila menu serba ringkas itu diakui antara yang terbaik dan mengalahkan beberapa hidangan popular lain di seluruh dunia seperti bubur ayam dari Indonesia yang menduduki tangga ke-29.
Selain bubur ayam, nasi goreng juga dari Indonesia turut berada dalam senarai 50 Sarapan Pagi Terbaik di Dunia dengan berada di posisi ke-49.

Berada di posisi pertama ialah sarapan pagi asal Turkiye yang dipanggil kahvalti, iaitu hidangan berupa roti yang dimakan bersama keju, buah zaitun, hirisan timun dan tomato.
Kahvalti sendiri membawa maksud sarapan pagi.
Pada 2023, roti canai telah dinobatkan sebagai Roti Terbaik Dunia juga oleh TasteAtlas dengan berada di posisi pertama, sekali gus mengetepikan India yang popular dengan roti naan dan juga negara-negara Eropah yang terkenal dengan kepelbagaian pastri terbaik dunia.