Siti Nurhaliza kini sertai 'keluarga' ZUS Coffee
PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diumumkan sebagai duta jenama kopi tempatan, ZUS Coffee.
Pengumuman itu dibuat menerusi platform media sosial rasmi jenama berkenaan pada Selasa, sekali gus mengalu-alukan kehadiran Biduanita Negara itu dalam keluarga ZUS Coffee.
Menurut ZUS Coffee, pemilihan Siti dibuat bukan sekadar kerana popularitinya dalam bidang seni, tetapi juga kerana menjadi figura yang menjadi inspirasi rakyat Malaysia selama beberapa dekad.

"Selamat datang ke keluarga ZUS, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
"Seseorang yang telah memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia merentasi pelbagai generasi sememangnya layak menerima yang terbaik.
"Dengan cita rasa yang malar segar dan reputasi yang dibina atas asas kualiti, beliau mencerminkan nilai yang kami pegang," menurut kenyataan dimuat naik di Instagram rasmi ZUSS Coffee.
ZUS Coffee turut memaklumkan kerjasama tersebut melambangkan komitmen mereka untuk terus menyajikan kopi dan teh yang segar, berkualiti serta disediakan dengan penuh teliti untuk pelanggan di seluruh negara.
MENARIK DIBACA: Sampai ralit menyedut sumsum dibuatnya, ini lokasi rahsia di KL jual sup tulang merah Singapura
MENARIK DIBACA: ZUS Coffee buka outlet pertama di Jakarta, sedia bersaing dengan jenama kopi tempatan
"Berbekalkan semangat yang sama, kami akan terus membancuh kopi dan teh dengan kesegaran, kualiti dan layanan yang sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia," katanya.
Kempen berkenaan turut mengekalkan slogan ikonik ZUS Coffee, "A Necessity, Not A Luxury", yang membawa mesej bahawa minuman berkualiti premium boleh dinikmati oleh semua pada harga berpatutan.
Tidak lama selepas pengumuman dibuat, ruangan komen media sosial ZUS Coffee dibanjiri reaksi positif daripada peminat.
Ramai menyifatkan pelantikan Siti sebagai pilihan tepat memandangkan imej beliau yang sentiasa profesional, dipercayai dan dekat di hati masyarakat.
Malah, tidak kurang juga yang meluahkan rasa tidak sabar untuk menyaksikan kempen serta promosi istimewa yang bakal menampilkan penyanyi lagu Anta Permana itu bersama ZUS Coffee.

"Ayuh peminat Biduanita Negara, jom ramai-ramai beli ZUSS Coffee!
"Pagi kopi, petang 'tea', ini hari Siti. Tahniah!
"Maka ZUSS perlu buka booth jualan masa Konsert Tradisional Gema Bumantara," komen beberapa peminatnya.
Pada masa sama, kolaborasi ini sekali lagi membuktikan bahawa jenama kopi tempatan tersebut terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dengan menggandingkan ikon yang mempunyai pengaruh besar, sekali gus memperkukuhkan hubungan dengan pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Terdahulu, ramai berteka-teki figura yang bakal mewarnai ZUSS Coffee apabila jenama kopi tersebut memuat naik video pendek (teaser) menggunakan suara penyanyi bersuara merdu itu dalam Instagram.
Perkongsian tersebut sekali gus memancing perhatian ramai apabila masing-masing dapat meneka dengan tepat siapa pemilik suara tersebut.