[V] “Memasak perlu ada ilmu dan bakat macam cipta lagu” - Edry Abdul Halim
PENYANYI dan komposer terkenal, Edry Abdul Halim berpandangan memasak tidak patut dikaitkan sebagai tugas orang perempuan sahaja kerana percaya memasak adalah bidang bersifat universal.
Malah Edry, 49, ketika ditemui Kuali berkata, dia turut percaya memasak merupakan bakat yang tidak dimiliki oleh semua orang sama seperti komposer dan penulis lagu.
Kata anggota kumpulan muzik KRU itu, baik memasak atau mencipta lagu, kedua-dua bidang itu perlu disertakan bersama bakat dan juga ilmu untuk mendapatkan hasil yang bagus.

"Kerja memasak bukan untuk orang perempuan kerana saya melihat memasak sebenarnya bersifat universal.
"Namun apa yang paling penting adalah, memasak perlu disertakan bersama dengan bakat dan juga ilmu.
"Sama juga seperti mencipta lagu. Bila orang tanya bagaimana saya mencipta lagu, saya kata itu adalah bakat yang dikurniakan Tuhan," kata Edry.
MENARIK DIBACA: Bukan semua elok dimakan mentah... 5 sayuran ini lagi berkhasiat selepas dimasak!
MENARIK DIBACA: Aiskrim santan resipi tradisional dengan sentuhan moden mengimbau nostalgia!
Bercakap tentang bakatnya dalam memasak, Edry berkata dia banyak belajar tentang ilmu memasak dengan isterinya, Milia Mohammed walaupun tidak sehandal suri hatinya itu.
Malah anak lelaki sulungnya, Emil yang kini berusia 25 tahun turut boleh dianggap jaguh di dapur kerana memiliki kebolehan memasak hasil didikan ibunya.
"Kalau tanya saya boleh memasak atau tidak, jawapannya adalah boleh. Tapi tidaklah sehebat isteri saya.
"Tapi kalau anak sulung saya Emil, dia memang pandai memasak sebab belajar dengan ibunya," kata bapa kepada empat orang cahaya mata itu.

Ketika disoal tentang menu air tangannya sendiri, Edry berkata dia lebih gemar memasak masakan barat kerana lebih mudah berbanding masakan Melayu.
"Saya lebih handal memasak makanan barat terutama yang masakan grill kerana lebih mudah berbanding masakan Melayu.
"Tapi seperti apa yang saya cakap tadi, masakan saya tetap tidak boleh menandingi air tangan isteri," kata penggemar ikan salmon itu.