[V] Tak mudah bergelar atlet gimnas negara, Sharul Aimy disiplin bab diet - “Dulu badan saya berisi”
BERGELAR seorang atlet kebangsaan bukan perkara mudah apatah lagi perlu mengamalkan diet ketat bagi mengekalkan bentuk tubuh.
Bagi atlet gimnas kebangsaan iaitu Sharul Aimy, dia akan berasa tertekan apabila perlu mengamalkan diet ketat apatah lagi jika terlibat dengan kejohanan besar.
Dedah Sharul atau Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam, walaupun adakalanya tertekan namun dia sangat berdisiplin tentang diet kerana pernah berada dalam fasa 'berisi' sebelum bergelar atlet.

"Memang tertekan sebab sewaktu kecil, saya bukan dalam kategori kanak-kanak bertubuh kurus. Badan saya agak berlemak (berisi) sebenarnya.
"Saya mula jaga pemakanan sewaktu berusia 13 tahun ketika mula-mula menceburkan diri dalam sukan gimnastik. Ketika itu saya lihat rakan-rakan lain sudah membina otot.
"Jadi dari situ saya mula jaga pemakanan untuk dapat bentuk tubuh yang cantik, kerana terlibat dalam sukan gimnastik memerlukan bentuk tubuh sempurna," kata atlet asal Terengganu itu.
MENARIK DIBACA: Nasib baik ‘keluar’ masa buang air besar, kes kanak-kanak tertelan keychain Ultraman patut dijadikan iktibar
Ketika ditanya rutin pemakanan yang diamalkan sebagai seorang atlet, Aimy memberitahu sumber pemakanannya lebih kepada protein untuk membina otot, selain tidak mengambil makan tengah hari.
"Pada waktu pagi selepas bersenam di gimnasium, saya akan sarapan dengan sumber protein iaitu telur dan sayur-sayuran.
"Saya tidak ambil makan tengah hari. Untuk makan malam pula, saya makan nasi bersama lauk protein seperti ayam," kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Bercakap tentang makanan kegemarannya, sebagai anak jati negeri Terengganu, Aimy menjadikan nasi dagang dan keropok lekor sebagai hidangan kegemarannya.
"Makanan kegemaran saya sudah tentu makanan Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor.
"Walaupun saya tidak berapa suka makan ikan, tapi sebagai anak terengganu saya sukakan celup tepung," Ujar Aimy yang bakal beraksi di Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia pada Oktober ini.