Pepes tilapia daun selasih... Kaya rasa, aroma bangkit selera
PEPES tilapia daun selasih merupakan salah satu masakan lazat dan kaya rasa rempah serta aroma.
Ikan dilumur dan diperap dengan pelbagai bahan masakan segar dan ditambah dengan haruman daun selasih atau dikenali kemangi.
Selera semakin bertambah apabila hidangan dibungkus dalam daun pisang sebelum dikukus hingga masak.
Pepes tilapia daun selasih ini sangat serasi dimakan bersama nasi panas tanpa perlu lauk pauk lain.

Bahan-bahan
Bahan A
- 1 ekor ikan tilapia (dibersihkan)
- 1 ikat daun selasih/kemangi
- 2 batang serai (dititik)
- 4 helai daun salam
- 2 biji tomato (dihiris)
- 2 batang daun bawang (dihiris)
- 5 helai daun limau purut
- 2 tangkai cili merah (dihiris)
- Daun pisang (dilayur atas api)
- Pencungkil gigi
Bahan B
- 6 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 3 biji buah keras (disangai)
- 2 inci kunyit hidup
- 2 inci halia
- 1 sudu besar ketumbar
- Garam
- Gula
- Perasa
MENARIK DIBACA: Tip mudah ini selesaikan masalah ikan hancur ketika digoreng... Isi dan kulit kekal sempurna
MENARIK DIBACA: [V] Nasi beriani dimasak dalam buluh tawar selera unik
Langkah penyediaan
- Bersihkan ikan dan buang isi perutnya. Belah bahagian badan ikan supaya bahan perapan meresap.
- Kisar halus bahan B, kemudian lumur pada ikan sehingga rata, termasuk bahagian dalam badan ikan. Pastikan bahan perapan dilumur sepenuhnya.
- Siapkan daun pisang, letak daun salam, serai dan daun limau purut, kemudian letakkan ikan bersama hirisan tomato, daun bawang, cili merah dan daun selasih.
- Bungkus daun pisang dengan kemas lalu sematkan kedua-dua hujungnya dengan pencungkil gigi.
- Kukus selama 30 hingga 40 minit atau sehingga ikan masak.
- Siap untuk dihidangkan
Tip: Untuk aroma dan rasa yang lebih sedap, ikan yang sudah dibalut daun pisang boleh dipanggang seketika sebelum dikukus.
Anda juga boleh tambahkan cili api sesuai selera.
