Tak susah pun buat iceberg cheesecake, kombinasi keju-coklat berkrim cukup nikmat
BAGI yang ingin menghasilkan pencuci mulut di rumah, 'iceberg cheesecake' ini boleh dijadikan pilihan kerana cara penyediaannya cukup mudah.
Tak perlu risau jika tiada mixer di rumah kerana resipi perkongsian @nvrainna ini boleh dihasilkan menggunakan peralatan dan bahan-bahan ringkas.
Selain menggunakan ketuhar, kek keju ini juga boleh dibakar menggunakan 'air fryer' dengan ketetapannya mengikut kesesuaian peralatan masing-masing.
Apa yang menarik, 'iceberg cheesecake' ini mempunyai tekstur lembut dan berkrim, dilengkapi lapisan 'chocolate cremeux' yang menonjolkan lagi rasa coklat pada setiap gigitan.
Selepas disejukkan selama beberapa jam, kek keju ini sedia dipotong dan dinikmati sebagai pencuci mulut bersama rakan serumah atau ahli keluarga.
Bahan-bahan (kek)
- 375g krim keju (cream cheese) pada suhu bilik
- 75g gula kastor
- 2 biji telur
- 2 sudu tepung gandum
- 1 sudu kecil esen vanila
- 280g krim putar (whipping cream)
Bahan chocolate cremeux
- 200g krim putar (whipping cream)
- 1 biji kuning telur
- 2 sudu gula kastor
- 150g coklat gelap (dark chocolate coins)
MENARIK DIBACA: Mudah rupanya! Chef ajar cara hasilkan New York Cheesecake lembut berkrim
MENARIK DIBACA: Mudah rupanya! Chef ajar cara hasilkan New York Cheesecake lembut berkrim
Cara penyediaan
- Pukul krim keju bersama gula kastor sehingga sebati dan bertekstur lembut.
- Masukkan telur dan esen vanila, kemudian pukul sehingga semua bahan sebati.
- Masukkan krim putar dan tepung gandum. Gaul sehingga adunan sebati dan tidak berketul.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang berukuran 7 × 4 × 3 inci.
- Bakar pada suhu 220°C selama kira-kira 30 minit atau sehingga permukaan kek keju menjadi keperangan. Jika menggunakan air fryer, laraskan suhu dan tempoh pembakaran mengikut model peralatan.
- Untuk menyediakan lapisan chocolate cremeux, panaskan krim putar bersama gula kastor menggunakan api perlahan.
- Pukul kuning telur dalam mangkuk berasingan. Masukkan sedikit demi sedikit campuran krim panas sambil dikacau, kemudian tuangkan semula ke dalam periuk.
- Masak menggunakan api perlahan sambil dikacau sehingga campuran sedikit pekat. Elakkan daripada mendidih.
- Tuangkan campuran krim panas ke atas coklat gelap dan kacau sehingga coklat cair sepenuhnya serta menghasilkan tekstur yang licin.
- Biarkan kek keju yang telah dibakar sejuk sebelum tuang lapisan chocolate cremeux di atasnya.
- Simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya enam jam sebelum dipotong dan dihidangkan.
