Viral kopi campur arang membara, minum diibarat 'tempah maut'
SETIAP negara mempunyai perbezaan dan keunikan tersendiri dalam budaya serta penyediaan kopi.
Misalnya di Türkiye, kopi dipanaskan menggunakan pasir panas manakala di Vietnam, robusta disediakan menggunakan penapis logam kecil iaitu 'phin' yang diletakkan terus di atas gelas.
Lain pula di kota Yogyakarta, Indonesia apabila terdapat sejenis minuman tradisional dikenali kopi jos yang disediakan dengan memasukkan arang kayu membara.
Menerusi video yang tular di Instagram, sekumpulan individu dilihat menikmati minuman unik berkenaan tanpa rasa gentar.

Apa yang menarik perhatian, pelayan dalam video itu mendakwa kopi yang dicampur arang itu selamat diminum kerana menggunakan arang daripada batang pokok asam jawa.
"Dari kayunya mengandungi satu zat dikenali sebagai zat norit yang membantu membersihkan perut," katanya.
Bagaimanapun, video tersebut mencuri perhatian warganet yang rata-ratanya meluahkan kebimbangan terhadap risiko minum kopi berkenaan.
Ramai yang mengingatkan bahawa pembakaran kayu pada suhu tinggi boleh menghasilkan sebatian berbahaya yang dikaitkan dengan risiko kanser.
MENARIK DIBACA: RM8 secawan! Muzium di Beijing jual kopi lipas, rasanya tak seteruk disangka
MENARIK DIBACA: PM Thailand promosi kopi ais 'oliang', sekali cuba mungkin terus lupa Americano
Malah, ada yang menyifatkan tindakan menikmati kopi berkenaan sebagai 'menempah maut'.
"Pembakaran kayu pada suhu tinggi menghasilkan sebatian hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH) yang bersifat karsinogenik dan berisiko mencetuskan kanser jika diambil. Ia juga boleh membebankan fungsi hati.
"Kegunaan kopi tu sebenarnya untuk memasukkan kalian ke ruang ICU di hospital terdekat.
"Tukar nama jadi Kopkan (kopi kanser)," tulis beberapa netizen.

Selain risiko kanser, minum kopi dicampur arang secara langsung dikhuatiri menyebabkan keracunan makanan, malah menjejaskan sistem penghadaman.
Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, arang bukan dikategorikan sebagai makanan malah penambahannya ke dalam minuman merupakan kesalahan di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Pengusaha premis yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
