Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
KEMUNCULAN bisul pada bahagian badan terutamanya punggung bukan sahaja menyakitkan tetapi membuatkan seseorang sukar bergerak.
Lebih parah jika bisul tersebut mengambil masa untuk kecut dan sembuh sepenuhnya.
Bisul terjadi disebabkan jangkitan bakteria dikenali sebagai staphylococcus aureus pada folikel rambut yang menyebabkan benjolan merah, berisi nanah dan sakit.
Biasanya ia muncul di bahagian ketiak, leher, atau punggung. Ia dirawat dengan tuaman air panas, menjaga kebersihan, dan ubat antibiotik jika perlu.
MENARIK DIBACA: Kesilapan biasa simpan santan kotak selepas dibuka, ada cara elak ia cepat masam
MENARIK DIBACA: Quesillo mula jadi pilihan, ada beza dengan puding karamel
Selain rawatan hospital, ramai tidak sebar pemakanan turut memainkan peranan penting dalam membantu badan melawan jangkitan dan mempercepatkan penyembuhan bisul.
Sebenarnya terdapat beberapa makanan yang boleh membantu penyembuhan bisul dari dalam termasuk buah-buahan, telur dan kekacang.

1. Buah-buahan vitamin C
Buah seperti oren, jambu batu, kiwi dan strawberi kaya dengan vitamin C yang penting untuk membaiki tisu kulit serta menguatkan sistem imun.
Pengambilan vitamin C secara konsisten membantu badan melawan bakteria penyebab bisul.

2. Bawang putih
Bawang putih terkenal dengan sifat antibakteria dan anti radang semula jadi yang membantu mengurangkan jangkitan dari dalam badan.
Bawang putih boleh dimakan mentah dalam jumlah kecil atau dimasukkan ke dalam masakan harian.

3. Telur
Ramai menyangka pengambilan telur akan menyebabkan kegatalan selain menyukarkan penyembuhan bisul.
Sebaliknya, telur mengandungi zink dan protein yang penting untuk penyembuhan luka dan membantu mempercepatkan pemulihan kulit serta menyokong sistem imunisasi badan.

4. Sayuran hijau
Sayur seperti bayam, brokoli dan sawi kaya dengan vitamin dan mineral yang membantu tubuh melawan keradangan.
Pengambilan sayur hijau secara kerap membantu mengekalkan kesihatan kulit.

5. Kekacang
Badam, kacang tanah dan biji labu mengandungi zink serta lemak sihat yang membantu proses penyembuhan dan mengurangkan keradangan dalam badan.