Sedap tapi ada bau! Ini 5 cara hilangkan hanyir sardin dalam tin
SARDIN dalam tin boleh katakan menjadi sajian 'penyelamat' ketika waktu terdesak dan sememangnya menjadi menu kegemaran ramai.
Bagaimanapun, ada juga individu menolak untuk makan ikan sardin dalam tin disebabkan tidak tahan dengan baunya yang sedikit hanyir.
Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang wanita meminta tip atau petua daripada warga maya untuk mengatasi masalah tersebut.
"Korang tahu tak macam mana nak kurangkan bau hanyir ikan sardin ni?
"Sebelum ni okay je, semenjak dua menjak ni hidung suami sensitif betul. Padahal cara masak pun sama je," luahnya.
Malah, dia turut berseloroh menyindir suami tercinta yang mungkin sudah mengalami perubahan deria seiring peningkatan usia.

"Ke sebab faktor usia... semakin menuju 'kilauan emas'?" katanya.
Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang berkongsi cara masing-masing bagi memastikan ikan sardin kekal membuka selera tanpa bau tidak menyenangkan.
Antara kaedah utama yang paling banyak dikongsikan adalah penambahan bahan seperti air asam jawa atau perahan limau nipis.
MENARIK DIBACA: Petua kerang 'muntah' lumpur sendiri! Tak perlu sental satu-satu, jimat masa
MENARIK DIBACA: Daun bawang dah 4 hari potong masih segar! Cef kongsi tip elak potongan sayur cepat layu
"Saya ambil kuah sardin sikit je, lebihkan air asam jawa atau perah limau," kongsi seorang netizen.
Selain itu, teknik menggoreng ikan sardin terlebih dahulu sebelum ditumis bersama kuah turut menjadi kaedah popular bagi memastikan tekstur ikan lebih garing dan tidak berbau.
"Goreng dahulu sebelum masak. Pastikan kering (toskan) sebelum goreng," saran seorang lagi netizen.
Ada juga yang mengesyorkan penggunaan ulam-ulaman aromatik seperti daun kesum selain memastikan petua asas menumis dipatuhi sepenuhnya.
"Tumis bawang biar masak, cili pun biar masak betul. Asam jawa lebihkan, bawang besar hiris pun bagi lebih... InshaAllah tak ada hanyir," tambah netizen lain.
