Rebus tanpa air selamatkan tekstur, kekalkan manis kerang! Isi tak kecut, melekat di kulit
KERANG antara makanan laut yang cukup digemari ramai, sama ada dimasak sambal, dibuat rendang atau sekadar direbus untuk dicecah bersama air asam.
Menanggalkan isi kerang nampak mudah, tetapi ada kalanya ia akan melekat pada cengkerang dan jika direbus lama boleh menjadi liat atau kecut.
Keadaan ini pastinya mengecewakan, terutama bagi penggemar kerang yang mahukan isi sempurna dari segi rasa dan tekstur.
Bagi mengatasi masalah ini, ada tip yang boleh dicuba iaitu merebus kerang tanpa menggunakan air.

Teknik ini dikongsikan oleh pengguna TikTok, Sa’adah Sulaiman, yang menunjukkan cara mudah supaya kerang senang dikupas isinya dan tidak melekat pada kulit.
Cara ini hanya menggunakan sedikit garam dan dua batang serai untuk membantu memberikan aroma yang lebih harum.
Cara rebus kerang tanpa air:
- Langkah pertama, bersihkan kerang dengan teliti menggunakan air mengalir. Gosok permukaan cengkerang untuk membuang lumpur, pasir dan kotoran yang melekat. Ulang proses membilas sehingga air kelihatan bersih.
- Selepas itu, masukkan kerang yang sudah dibersihkan ke dalam periuk tanpa menambah air. Taburkan garam secukupnya, kemudian masukkan dua batang serai yang telah dititik supaya aromanya lebih mudah keluar.
- Tutup periuk dengan penutup dan biarkan kerang dimasak menggunakan api sederhana. Kerang akan mengeluarkan cecair semula jadinya apabila dipanaskan, sekali gus menghasilkan wap yang membantu proses memasak.
- Sepanjang proses ini, elakkan membuka penutup periuk terlalu kerap supaya haba dapat dikekalkan. Perhatikan keadaan kerang dan apabila cengkerang mula terbuka, periksa sama ada isinya sudah masak sebelum menutup api.
- Setelah itu, kerang boleh diangkat dan dibiarkan seketika sehingga cukup suam untuk dikendalikan. Isinya kemudian boleh dikeluarkan dari cengkerang dengan lebih mudah.
MENARIK DIBACA: Tiada selut, kulit putih bersih! Ini 6 cara mudah cuci kerang, pilih ikut keselesaan
MENARIK DIBACA: Resipi kerang lemak pucuk paku memang mantap, kuahnya pedas buat bertambah nasi
Menerusi teknik yang dikongsikan itu, isi kerang lebih mudah ditanggalkan tanpa melekat pada cengkerang.
Rasanya juga dikatakan manis dengan tekstur yang kenyal, sesuai dinikmati begitu sahaja atau dijadikan bahan untuk pelbagai hidangan.
Tip penting ketika merebus kerang:
- Pilih kerang yang masih hidup dan segar. Elakkan kerang yang berbau busuk atau mempunyai cengkerang yang pecah.
- Pastikan kerang dibersihkan dengan sempurna kerana pasir dan lumpur yang tertinggal boleh menjejaskan rasa serta tekstur hidangan.
- Elakkan memasak kerang terlalu lama kerana haba berlebihan boleh menyebabkan isinya mengecut dan menjadi liat. Tempoh memasak bergantung pada saiz kerang, jumlah yang dimasak serta kekuatan api, jadi pastikan kerang diperiksa dengan teliti.