Tiada selut, kulit putih bersih! Ini 6 cara mudah cuci kerang, pilih ikut keselesaan
PEMINAT kerang memang ramai, tapi bila terasa pasir atau selut sewaktu makan memang boleh putus selera.
Kerang yang tidak dibersihkan dengan betul boleh menyebabkan masalah pencernaan seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit akibat bakteria atau toksin.
Sebenarnya, ada beberapa cara mudah dan berkesan untuk membersihkan kerang supaya bebas kotoran sebelum dimasak.
Jika dibasuh dengan cara betul, kerang bukan saja lebih bersih tapi lebih penting selamat dimakan.

1. Garam dan cili kering
Cara paling popular adalah dengan merendam kerang dalam air bercampur garam kasar dan cili kering.
Masukkan kerang ke dalam bekas, tambah air hingga tenggelam kemudian letakkan garam dan beberapa tangkai cili kering.
Biarkan selama 20 hingga 30 minit.
Petua ini membantu kerang ‘memuntahkan’ pasir dan kotoran yang terperangkap di dalam cengkerang.
MENARIK DIBACA: Memang sedap kalau dibuat bakar, ini antara khasiat mentarang laut untuk tubuh
MENARIK DIBACA: Ribuan tan keju bernilai RM8.33 bilion disimpan dalam gua, jadi ‘back up’ kawal harga susu

2. Guna serai tumbuk
Selain itu, anda boleh gunakan serai yang ditumbuk kasar.
Gaulkan serai bersama kerang dalam air dan biarkan selama 10 hingga 20 minit.
Kaedah ini bukan saja membantu buang kotoran, malah dapat kurangkan bau hanyir.

3. Hampas kelapa pun boleh!
Jangan buang hampas kelapa kerana ia juga boleh digunakan untuk membersihkan kerang.
Gaul kerang bersama hampas kelapa dan biarkan selama satu hingga dua jam.
Kotoran akan melekat pada hampas tersebut menjadikan kerang lebih bersih.

4. Ramas dengan pelepah pisang atau daun ubi
Petua tradisional ini masih diamalkan hingga kini.
Ramas kerang bersama pelepah pisang atau daun ubi untuk menanggalkan lumpur dan selut dengan lebih cepat.
Cara ini sesuai jika kerang terlalu kotor.

5. Tambah kunyit atau asam keping
Untuk hasil lebih bersih, rendam kerang dalam air yang dicampur serbuk kunyit atau asam keping selama 15 hingga 20 minit.
Selain membantu membersihkan, ia juga boleh memutihkan kulit kerang.

6. Bilas sampai air jernih
Langkah paling mudah adalah membilas kerang berulang kali sehingga air menjadi jernih.