Ribuan tan keju bernilai RM8.33 bilion disimpan dalam gua, jadi ‘back up’ kawal harga susu
BAYANGKAN sebuah gua gelap di bawah perbukitan Missouri, Amerika Syarikat dijadikan tempat penyimpanan keju dalam jumlah luar biasa!
Bukan sedikit tetapi bernilai 1.4 bilion paun (RM 8.33 bilion). Bunyi agak pelik tapi inilah realitinya!
Gudang bawah tanah ini dimiliki oleh kerajaan Amerika Syarikat bersama pengeluar makanan dan fungsinya bukan sekadar menyimpan keju.
Ia adalah sebahagian daripada strategi penting untuk menstabilkan harga susu terutamanya apabila pengeluaran melebihi permintaan.

Gua-gua ini adalah lokasi sempurna untuk penyimpanan keju.
Suhu bawah tanah yang sejuk dan stabil sepanjang tahun membolehkan keju disimpan dalam jumlah besar tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada sistem penyejuk elektrik yang menggunakan banyak tenaga.
Menariknya, kebanyakan keju ini dihasilkan daripada lebihan susu kerajaan yang diubah menjadi produk tahan lama.
MENARIK DIBACA: Rasa klasik, bangkit nostalgia... Meja tak lengkap tanpa 8 kuih raya 'legend' ini
MENARIK DIBACA: Jaga pemakanan, jangan sampai terkena 5 penyakit popular musim raya
Ini memastikan makanan tidak terbuang dan stok tetap tersedia bila diperlukan.
Bagi petani dan pengeluar susu, gudang bawah tanah ini berfungsi sebagai pelindung atau 'back up' supaya mereka tidak mengalami kerugian besar jika harga susu jatuh.
Apabila pengeluaran melebihi permintaan, keju-keju ini membantu mengawal pasaran dan menjaga harga supaya tidak jatuh terlalu teruk.
Inilah cara sistem makanan moden berfungsi di sebalik tabir.

Selain daripada fungsi ekonomi, gudang keju ini juga menunjukkan kreativiti manusia memanfaatkan kehebatan alam.
Gua yang gelap dan sepi ini menjadi ruang 'harta karun' bernilai berbilion dolar yang menyumbang kepada kestabilan industri susu dan memastikan bekalan makanan sentiasa ada.
Walaupun keju ini jarang muncul di rak pasar raya dalam bentuk asalnya, peranannya sangat besar dalam menjaga keseimbangan pasaran dan bekalan makanan.
Siapa sangka gua gelap di Missouri boleh menjadi tempat simpanan keju gergasi yang mampu menampung perut ramai orang.
Dari sudut logistik, ia adalah contoh terbaik bagaimana manusia menggunakan teknologi dan alam semula jadi bersama-sama demi kepentingan umum.
