Tabiat makan pedas dikaitkan dengan risiko kematian lebih rendah, ini 5 fakta anda perlu tahu
BAGI penggemar makanan pedas, sambal atau cili bukan sekadar penambah rasa sebaliknya dianggap pelengkap hidangan.
Ada yang sanggup menambah hirisan cili padi dalam apa sahaja makanan yang dimakan dan ada juga tidak berselera makan tanpa sambal belacan.
Di sebalik rasa pedas yang membuatkan peluh mencurah, tabiat makan pedas yang ekstrem telah menarik perhatian ramai penyelidik.
Sejak sedekad lalu kajian mendapati pengambilan makanan pedas secara berkala dikaitkan dengan kemungkinan tahap kesihatan lebih baik.
Satu kajian berskala besar diterbitkan dalam jurnal perubatan The BMJ mendapati individu kerap mengambil makanan pedas secara keseluruhannya mempunyai risiko kematian lebih rendah berbanding mereka yang jarang menikmatinya.

Bagaimanapun, pakar mengingatkan bahawa penemuan tersebut tidak bermaksud cili ialah makanan ajaib yang mampu memanjangkan usia.
Berikut adalah lima faktor menarik tentang makanan pedas:
1. Tinggi kandungan capsaicin
Capsaicin adalah sebatian semula jadi memberikan rasa pedas pada cili. Bahan itu dipercayai mempunyai sifat anti-radang serta berpotensi membantu kesihatan saluran darah dan sistem kardiovaskular.
2.Membantu metabolisme badan
Beberapa kajian turut menunjukkan capsaicin boleh merangsang reseptor tertentu dalam badan berkaitan dengan penggunaan tenaga dan metabolisme.
Kesannya terhadap penurunan berat badan atau kawalan gula dalam darah bagaimanapun masih sedang dikaji.
MENARIK DIBACA:Kombinasi pedas, masam, berlemak... Daging dendeng batotok tak cukup sepinggan nasi
MENARIK DIBACA:Kajian buktikan makan pedas panjangkan hayat, kurangkan risiko kanser dan diabetes
3. Elak makan pedas tanpa had
Walaupun dapatan kajian kedengaran positif, pakar mengingatkan bahawa kesihatan seseorang dipengaruhi banyak faktor lain seperti pemakanan seimbang, senaman, tidur mencukupi, berat badan dan tabiat merokok.
Justeru, pengambilan makanan pedas sebaiknya dilakukan secara sederhana sebagai sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang, bukannya dijadikan alasan untuk mengabaikan aspek kesihatan lain.

4. Tidak sesuai untuk semua orang
Bagi individu mengalami gastrik, refluks asid atau masalah penghadaman tertentu, makanan terlalu pedas boleh memburukkan simptom.
Selain itu, tahap toleransi terhadap makanan pedas berbeza bagi setiap orang. Ada yang boleh menikmati hidangan pedas setiap hari tanpa kesan sampingan, manakala ada yang hanya boleh mengambilnya dalam kuantiti kecil.
5. Jadikan ia sebahagian daripada gaya hidup sihat
Kesimpulannya, menikmati makanan pedas secara sederhana mungkin menjadi salah satu tabiat yang memberi manfaat kepada kesihatan.
Gabungan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal konsisten dan pemeriksaan kesihatan berkala tetap menjadi kunci untuk hidup lebih sihat dan berkualiti.