Jangan ambil ringan masalah penghadaman! Kanser organ pencernaan rekod jumlah kematian tertinggi
MASALAH seperti kembung perut, sakit abdomen; refluks asid; pendarahan melalui dubur, keletihan tanpa sebab serta perubahan tabiat membuang air besar perlu diberi perhatian terutama jika semakin kerap berlaku atau mula mengganggu rutin harian.
Tanda-tanda yang berulang dan berpanjangan itu tidak sepatutnya dipandang ringan kerana ia berpotensi mendorong kepada tanda penyakit lebih serius.
Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal Hospital Picaso, Datuk Dr Luqman Mazlan berkata, ramai pesakit hidup dengan simptom pencernaan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan kerana menganggap ia hanya berpunca daripada gastrik, pemakanan atau tekanan.
"Gejala ini mungkin tidak semestinya petanda penyakit serius, namun apabila ia berulang atau semakin teruk dan disertai dengan penurunan berat badan; pendarahan atau keletihan tanpa sebab, ia adalah isyarat bahawa pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.

"Masalah cirit-birit berpanjangan, anemia, darah dalam najis atau sakit perut berterusan tidak sepatutnya dianggap normal atau dirawat sendiri kerana ia boleh menjadi petanda penyakit seperti radang usus, ulser; polip atau kanser kolorektal," katanya.
Perkara itu dikongsikan oleh pakar berkenaan sempena program On the Plate, In the Gut, yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan sistem penghadaman, kepentingan saringan awal dan penjagaan kolorektal menerusi sesi perkongsian bersama pakar.
MENARIK DIBACA: Bosan pisang goreng warna keemasan? Ini cara sediakan bancuhan tepung versi biru
MENARIK DIBACA: Nelayan kongsi punca ikan pari bau hancing, netizen beri petua elak pembaziran
Berdasarkan Statistik Punca Kematian Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kanser organ pencernaan merekodkan jumlah kematian akibat kanser tertinggi pada 2024 dengan 5,825 kes.

Justeru, doktor menegaskan saringan awal melalui ujian darah, ujian najis dan kolonoskopi atau gastroskopi (OGDS) mampu membantu mengesan penyakit lebih awal serta meningkatkan peluang rawatan.
Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Dr Chong Hoong Yin berkata, pengesanan awal bukan sahaja membolehkan doktor mengesan keabnormalan atau membuang polip sebelum menjadi kanser, malah memberi lebih banyak pilihan rawatan kepada pesakit.
"Hospital Picaso turut menawarkan teknologi endoskopi berbantu kecerdasan buatan (AI), pembedahan invasif minimum dan pembedahan robotik bagi meningkatkan ketepatan rawatan serta mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
"Ramai pesakit berasa malu untuk berbincang mengenai perubahan najis atau pendarahan dubur, menyebabkan mereka menangguhkan rawatan dan menganggap masalah itu sekadar buasir atau gangguan penghadaman biasa," katanya.