'Overdose' durian risiko maut? Pesakit buah pinggang, diabetes dinasihat beringat makan 'raja buah'
HARGA durian murah membuatkan ramai tak mahu melepaskan peluang menikmatinya sepuas-puas hati.
Ada juga yang sampai 'lupa diri' apabila menghabiskan lima biji durian dalam satu masa tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan.
Dalam keterujaan menikmati durian, timbul persoalan sama ada pengambilannya secara berlebihan boleh mendatangkan risiko kesihatan serta merta atau lebih teruk sekali menyebabkan maut.
"Dah dua kali dengar kes di kampung, meninggal sebab makan durian berlebihan. Strok dan pembuluh darah pecah. Sebenarnya fakta atau mitos? Doktor tolong jawab," soal seorang individu di Threads.
Menjawab persoalan itu, seorang netizen menjelaskan bahawa durian tidak semestinya menjadi punca langsung kepada kematian, namun ia boleh memburukkan keadaan bagi individu mempunyai penyakit tertentu.

"Kalau di kampung, ada orang tua mengalami diabetes atau masalah buah pinggang, durian boleh buat gula tinggi dan punca kepada ketoasidosis diabetik (DKA), iaitu komplikasi serius diabetes apabila badan kekurangan insulin dan menghasilkan keton pada tahap berbahaya, boleh bawa maut juga.
"Durian juga tinggi potasium. Sekiranya buah pinggang tak okay, boleh jadi punca serangan jantung," tulis seorang individu, dipercayai doktor.
Laman advokasi kesihatan Public Health Malaysua turut mengingatkan bahawa durian perlu dimakan secara berpada-pada, terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik.
MENARIK DIBACA: Bosan pisang goreng warna keemasan? Ini cara sediakan bancuhan tepung versi biru
MENARIK DIBACA: Nelayan kongsi punca ikan pari bau hancing, netizen beri petua elak pembaziran
"Durian boleh jadi berbahaya jika dimakan terlalu banyak, terutama bagi pesakit darah tinggi, diabetes, penyakit jantung atau buah pinggang.
"Ia boleh menaikkan paras gula dalam darah dengan cepat, manakala kandungan kalium tinggi pula boleh mengganggu rentak jantung.
"Tetapi strok atau salur darah pecah tidak boleh terus disahkan berpunca daripada durian tanpa penilaian perubatan. Bukan tak boleh makan, jangan makan berlebihan," tulisnya.
Turut mencuri perhatian adalah perkongsian seorang individu mendakwa kakaknya bekerja di sebuah pusat hemodialisis dan pernah berdepan situasi membabitkan pesakit buah pinggang.
Menurutnya, seorang pesakit warga emas dilaporkan meninggal dunia selepas menikmati beberapa ulas durian.

"Durian macam pembunuh senyap untuk pesakit buah pinggang. Sebab itu orang selalu pesan tiga atau empat ulas mencukupi. Lebih daripada itu boleh mengundang masalah kesihatan," katanya.
Seorang lagi individu menjelaskan bahawa pesakit buah pinggang berisiko mengalami hiperkalemia, keadaan apabila paras kalium dalam darah menjadi terlalu tinggi.
"Buah pinggang rosak tak lagi mampu menyingkirkan lebihan kalium seperti biasa, sekali gus meningkatkan risiko gangguan rentak jantung dan komplikasi lain," komen netizen.
Dalam pada itu ada juga yang mengaitkan durian masa kini dengan penggunaan bahan kimia.
"Durian sekarang bukan hidup 'nature' macam dulu. Bermacam baja dan racun digunakan supaya tumbuh cantik dan tak diganggu binatang.
"Pernah ke dulu kita dengar orang mati makan durian? Sekarang ni je macam-macam penyakit muncul asbab dari makanan kita juga yang dah diracun dari awal.
"Hari tu beli durian yang dah siap pek, makan beberapa ulas Udang Merah tapi panasnya berhari-hari sampai pecah bibir. Bila makan durian peniaga-peniaga kecil jual kat kampung tu OK la pula," komen warganet lagi.
Justeru, orang ramai disaran menikmati durian secara berpada-pada dan mendapatkan nasihat pakar sekiranya mempunyai penyakit kronik sebelum mengambilnya dalam kuantiti banyak.