'Scam' keropok lekor di Pasar Payang! Orang Terengganu pun pelik peniaga 'jual timbang'
BERMACAM pengalaman dilalui ketika aktiviti membeli-belah, lebih-lebih lagi apabila berkunjung ke tempat tumpuan pelancong.
Seorang individu berkongsi kisah tetang dirinya ketika membeli keropok lekor basah di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, individu itu berasa curiga dengan berat keropok lekor yang dibeli yang dirasakan tidak seperti dimaklumkan penjual.
Menurutnya, dia membeli dua pek keropok lekor berharga RM15 setiap satu selepas dimaklumkan setiap pek mempunyai berat sekitar 1.5 kilogram.

“Tak fikir panjang saya ambil dua bungkus. Jadi keseluruhan tiga kilogram, RM30,” tulisnya di Threads.
Bagaimanapun, sebaik sahaja pulang ke rumah dan memberikan keropok lekor tersebut kepada seorang rakannya, dia mendakwa rakannya melakukan pemeriksaan menggunakan penimbang.
Dakwanya, setiap pek keropok lekor berkenaan hanya mempunyai berat sekitar satu kilogram, bukannya 1.5 kilogram seperti yang dimaklumkan peniaga kepadanya.
MENARIK DIBACA: Resipi coleslaw salad paling ringkas, enak dimakan bersama ayam panggang
MENARIK DIBACA: Sarapan cepat tapi berkhasiat, cuba salad ayam teriyaki ringkas ini
Kecewa dan tidak puas hati dengan apa yang dialaminya, individu ini meminta pembeli lain supaya lebih berhati-hati ketika membuat pembelian.
“Saya ingat kedai pakcik, saya ingat muka-muka yang jual. Jangan sampai saya datang lagi sekali bawa penimbang,” katanya.
Dia turut mempersoalkan keuntungan yang diperoleh sekiranya perkara sama berlaku kepada ramai pembeli.
“Mana rezeki nak berkat, satu kepala menipu untung RM10, lagi banyak kepala yang membeli? Nak pergi haji naik jet ke pakcik?” tulisnya lagi.
Perkongsian itu mencuri perhatian warganet, dengan ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi dan pengalaman mengenai pembelian keropok lekor di sekitar Pasar Payang.
Ada yang mendakwa mereka tidak pernah mengetahui keropok lekor basah dijual mengikut timbangan di lokasi berkenaan.
“Tergamaknya. Tak pernah lagi beli keropok lekor timbang. Memang macam nak 'tekan' orang luar datang Terengganu.

“Nak beli keropok, lebih baik beli kat luar. Jangan beli di Pasar Payang.
“Masya-Allah, selama saya hidup di Terengganu ni baru jumpa orang jual keropok lekor pakai timbang. Lebih baik pergi beli di kedai keropok sekitar Losong, Terengganu.
“Selama lahir di Terengganu sehingga ke 40-an ni baru tahu kepok di Pasar Payang jual timbang,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak harga, berat dan jumlah bayaran dengan jelas sebelum membuat pembelian, terutama ketika membeli barangan secara timbangan.