Pamer buah segar, 'tester' manis... Peniaga di MAHA didakwa bagi langsat buruk kepada pembeli
HASRAT untuk menikmati buah-buahan segar selepas berkunjung ke karnival agro dan makanan terbesar negara tidak kesampaian apabila buah dibeli didakwa tidak seperti dipamerkan kepada pengunjung.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang individu mendakwa ketika berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, dia ditunjukkan dengan buah segar oleh peniaga, malah 'tester' yang diberikan juga rasanya manis.
Yakin dengan kejujuran peniaga, lelaki itu tidak memeriksa bungkusan beg plastik buah yang dibelinya sehinggalah dia pulang ke rumah.
“Ingatkan bawa balik dapatlah makan manis-manis. Bukan semuanya buruk, ada boleh makan.

"Tapi tak jujur (peniaga) sebab letak sekali dengan buah lebam dan lembik,” dakwanya yang membeli buah langsat.
Individu itu bagaimanapun menjelaskan terdapat juga gerai di MAHA 2026 yang menjual buah pada harga berpatutan dengan kualiti memuaskan.
Dia turut menasihatkan pengunjung supaya lebih berhati-hati ketika membeli buah-buahan dan sebaiknya memilih sendiri buah ingin dibeli, bukan menerima sahaja bungkusan yang dibungkus oleh peniaga lebih awal.
"Elok buat pembeli pastikan peniaga bungkus buah baharu. Jangan beli sudah siap bungkus," dia memberikan nasihat.
MENARIK DIBACA: Resipi coleslaw salad paling ringkas, enak dimakan bersama ayam panggang
MENARIK DIBACA: Sarapan cepat tapi berkhasiat, cuba salad ayam teriyaki ringkas ini
Perkongsian itu kemudian menarik perhatian warganet apabila ada individu turut mendakwa turut berdepan dengan pengalaman kurang menyenangkan ketika membeli buah di MAHA.
"Ini kali ketiga pembeli kongsi pengalaman berhadapan masalah. Sebelum ini pelanggan beli enam biji buah markisa tapi dua daripadanya kosong dan ditampal dengan pita pelekat. Ada juga membeli cempedak busuk.
"Saya pernah beli cempedak sudah berair, jambu Lohan pun lembik walaupun harganya agak tinggi.

"Saya beli melon potong selepas cuba 'tester' yang manis, tapi bila balik buah jadi masam.
"Buah jangan ikat dalam plastik, nanti 'lemas' dan cepat buruk.
"Jadi peniaga tolong jujur, kesian pelanggan," antara komen warganet.
Buat pengunjung berniat untuk membeli buah-buahan ketika ke MAHA, mungkin selepas ini perlu lebih teliti dalam soal pemilihan bagi mengelak isu sama berulang.