Suka makan tiramisu? Anda berpeluang jadi juri pertandingan bertaraf dunia di Itali
PEMINAT tiramisu kini berpeluang mencuba pencuci mulut popular dari Itali itu secara percuma sambil menjadi juri dalam pertandingan bertaraf dunia.
Seramai 130 pencinta tiramisu dari seluruh dunia dicari untuk menjadi juri awam bagi acara Tiramisu World Cup 2026 yang berlangsung di Treviso, Itali, pada 9 hingga 11 Oktober ini.
Menurut laporan media antarabangsa, jumlah 130 juri awam itu adalah yang terbesar sepanjang penganjuran kejohanan itu.
Peningkatan jumlah dibuat susulan sambutan serta minat terhadap pertandingan tersebut yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, bukan semua calon boleh terus duduk di kerusi juri.
Mereka perlu melepasi ujian terlebih dahulu sebelum dipilih untuk mencuba dan menilai tiramisu hasil tangan peserta pertandingan.
Calon juri perlu menjawab 15 soalan merangkumi peraturan rasmi pertandingan, sejarah dan budaya tiramisu serta pengetahuan mengenai Treviso, sebuah bandar di utara Itali yang menjadi lokasi pertandingan.
MENARIK DIBACA: Tumpahkan kopi di kafe popular Indonesia, layanan staf dipuji - "Malaysia kena banyak belajar"
MENARIK DIBACA: Mudah je buat 'strawberry Brazilian lemonade', minum masa cuaca panas terus segar tekak
Pengasas dan penganjur pertandingan, Francesco Redi berkata juri awam turut memainkan peranan penting dalam melihat perubahan cita rasa terhadap tiramisu sepanjang sedekad pertandingan itu dianjurkan.
Kongsinya, peserta kini semakin banyak menghasilkan tiramisu dengan ramuan lebih ringan dan kurang berlemak, tetapi keseimbangan rasa tetap menjadi aspek penting dalam penilaian.

"Apa yang penting, tiramisu mesti kekal terasa seperti tiramisu,” katanya.
Calon yang berjaya melepasi ujian akan ditempatkan di meja penjurian ketika pusingan kelayakan pada 9 dan 10 Oktober akan datang untuk mencuba serta memberikan markah kepada tiramisu dalam kategori tradisional dan kreatif.
Selain pertandingan, Tiramisu World Cup 2026 turut meraikan ulang tahun ke-10 penganjurannya.
Pengunjung boleh mendapatkan tiramisu hasil tangan juara dunia terdahulu, selain menyertai larian 10K Tiramisu Run yang bakal disertai 1,000 pelari sebelum menikmati tiramisu selepas tamat larian.