Terima notis KKM, Restoran Ikea Cheras ditutup sementara untuk jalankan kerja penyelenggaraan
TULAR di media sosial notis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebuah premis restoran Ikea ditutup sementara bermula 17 Jun 2026 sehingga 1 Julai 2026.
Susulan notis bertarikh 17 Jun 2026 tersebut, Ikea Malaysia melalui pengumuman yang dikeluarkan di media sosial rasmi memaklumkan penutupan sementara Restoran Sweden Ikea cawangan Cheras, Kuala Lumpur itu bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan secara menyeluruh.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.
"Restoran Sweden Ikea Cheras ditutup sementara bermula 17 Jun 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan untuk memastikan kami terus memenuhi piawaian kebersihan tinggi yang ditetapkan oleh Ikea serta pihak berkuasa kesihatan Malaysia," demikian kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu.
Bagaimanapun, Ikea Malaysia memaklumkan penutupan sementara Restoran Sweden Ikea Cheras tidak menjejaskan operasi Ikea Cafe dan Bistro yang beroperasi seperti biasa.
MENARIK DIBACA: Karipap Ikea bukan snek biasa-biasa, catat sejarah dalam MBOR
MENARIK DIBACA: Banyak betul manfaat barli, paling penting boleh turunkan berat badan
Sebagai alternatif untuk pelanggan, Ikea Malaysia memaklumkan orang ramai masih boleh menikmati menu kegemaran mereka di cawangan-cawangan Ikea lain seperti di Ikea Damansara, Ikea Tebrau di Johor dan Ikea Batu Kawan, Pulau Pinang.
"Terima kasih atas kefahaman dan kesabaran anda sepanjang kami menjalankan usaha ini.

"Kami berharap dapat mengalu-alukan kedatangan anda semula tidak lama lagi," menurut kenyataan Ikea Malaysia lagi.
Pada 9 Mei lalu, Ikea yang popular dengan hidangan ikonik Swedish Meatballs (bebola daging Sweden) menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records (MBOR) untuk 'Jualan Karipap Terbanyak dalam Setahun' selepas mencatatkan jualan luar biasa iaitu 8.6 juta biji karipap di seluruh negara.