Dakwaan tikus dalam laksa, pemilik warung buat laporan polis pertahankan perniagaan
PEMILIK sebuah warung di Langkawi membuat laporan polis bagi mempertahankan perniagaannya selepas tular seorang pelanggan mendakwa menemui bangkai anak tikus dalam laksa yang dibelinya.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, pemilik warung D' Tanjung Semilang menzahirkan rasa lega sambil berkongsi foto laporan polis bertarikh 17 Jun 2026 yang dibuat di Balai Polis Daerah Kuah di Langkawi.
"Alhamdulillah Allah SWT permudahkan semua urusan.
"Terima kasih semua pelanggan yang sentiasa ada dengan kami.
"Setiap yang berlaku mungkin ada yang lebih baik kemudiannya. Percaya dengan rezeki Allah," tulisnya.

Dalam laporan polis yang dibuat, pemilik warung tersebut memaklumkan seorang pelanggan membeli dua jenis makanan iaitu laksa sarang dan kuetiau sup Thai sekitar pukul 4.20 petang pada 16 Jun lalu.
Tidak lama kemudian iaitu kira-kira pukul 5.30 petang, pembeli tersebut datang semula ke warung dan mendakwa terdapat tikus di dalam laksa yang dibelinya.
Dalam laporan polis yang dibuat turut menyebut, suami kepada pemilik warung menafikan tuduhan yang dibuat kerana mendakwa setiap hidangan akan diperiksa terlebih dahulu sebelum dijual.
MENARIK DIBACA: Mudah je buat cucur labu lembut di dalam, rangup di luar! Sekali makan susah nak berhenti
MENARIK DIBACA: Cara buat sambal kicap asli Jawa, pelengkap soto dan aneka gorengan
"Suami saya telah menafikan memberikannya laksa sarang yang mengandungi tikus kerana kami semua telah memeriksa kesemua menu yang dipesan oleh pembeli sebelum menjualnya," katanya dalam laporan polis yang dibuat.
Bagaimanapun, pemilik warung berkata, pelanggan berkenaan tetap diberikan RM50 sebagai wang untuk mendapatkan rawatan di klinik sebelum beredar.
Pada masa sama, pemilik warung turut dimaklumkan oleh pelanggan lain menerusi WhatsApp bahawa kejadian yang berlaku telah tular dalam Threads apabila ia disebarkan oleh inividu yang tidak dikenali.

Menerusi komen yang ditinggalkan, pemilik warung memberitahu sepanjang 11 tahun berniaga, kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku terhadap peniagaan yang dijalankan.
"Tak apa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah periksa warung kami baru-baru ini. Alhamdulillah, tak ada kompaun untuk kesalahan kebersihan.
"Dah 11 tahun berniaga ini kali pertama kami disalahkan.
"Apa yang penting, tikus elok sekali bulu walaupun kuah kami sentiasa panas menggelegak. Kuatnya tikus tu pertahakan bulu dia," katanya.
Dah 11 tahun berniaga ini kali pertama kami disalahkan
pemilik warung
Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang pelanggan mendakwa menemui bangkai anak tikus dalam bungkusan laksa sarang yang dibeli dari warung D'Tanjung Semilang pada 16 Jun lalu.
Pemilik warung bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa pelanggan berkenaan telah memfitnah mereka sebelum dia membuat laporan polis atas tuduhan tersebut.