Wanita guna coklat hasilkan replika 3D 'kehidupan tepi sungai', pindah rumah lebih besar untuk berkarya
COKLAT sering dijadikan snek atau hadiah istimewa untuk seseorang namun seorang wanita menggunakannya untuk tujuan lain.
Menggunakan kira-kira 60 kilogram coklat, wanita tersebut menghasilkan replika mini 3D sebuah lukisan klasik terkenal sehingga videonya tular di media sosial.
Fan Sumu yang berasal dari China ini tidak pernah menerima latihan formal dalam bidang seni, namun kemahiran yang dimilikinya dipelajari menerusi video di internet.
Menurut laporan Jimu News, karya tersebut diinspirasikan daripada lukisan bersejarah 'Along the River During the Qingming Festival' yang dihasilkan oleh pelukis Dinasti Song Utara, Zhang Zeduan sekitar tahun 960 hingga 1127.
Lukisan asal yang berukuran 25.5 sentimeter tinggi dan 5.2 meter panjang itu dianggap antara karya seni paling terkenal dalam sejarah China kerana memaparkan kehidupan harian masyarakat serta pemandangan di sepanjang Sungai Bian di Bianjing dengan begitu terperinci.
Bagi menghasilkan versi 3D tersebut, Fan bukan sahaja menggunakan coklat malah turut menggabungkan fondant (lapisan gula lembut) dan kertas beras bagi meniru setiap elemen dalam lukisan berkenaan.

Dilaporkan Fan pernah menghasilkan model coklat berdasarkan sebahagian kecil lukisan itu pada tahun lalu sebelum mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan versi lengkap pada tahun ini.
Hasil akhirnya berukuran 1.22 meter lebar dan tujuh meter panjang mengandungi 176 rumah, 281 pokok dan lebih 20 bot serta 816 figura manusia.
"Setiap rumah mempunyai ketinggian sekitar 10 hingga 20 sentimeter manakala figura manusia hanya setinggi dua sentimeter. Tingkap yang paling kecil pula berukuran kurang dari satu sentimeter," katanya.
Fan turut menjelaskan bahawa tali yang digunakan pada model kereta sorong petani dihasilkan menggunakan coklat cair yang dimasukkan ke dalam beg paip sebelum dipicit keluar dan dibiarkan mengeras.
MENARIK DIBACA: Tepung ubi ganti bedak! Wanita kongsi petua rawat ruam bayi, rupanya ramai guna cara sama
MENARIK DIBACA: Mudah sangat buat jeli kelapa muda... Lebih segar, terasa keaslian berbanding beli di kedai
Menurutnya, projek tersebut pada mulanya dijalankan di ruang tamu rumahnya, namun ruang yang terhad memaksanya menyewa sebuah rumah yang lebih besar kira-kira 25 kilometer dari lokasi asal.
Bagaimanapun, proses pemindahan itu menyebabkan banyak hasil kerja yang telah siap rosak dan patah sekali gus memaksanya memulakan semula projek tersebut.
Fan merupakan graduan jurusan perdagangan antarabangsa dan tidak pernah mengikuti sebarang kelas seni halus dan sebelum ini dia dikenali sebagai penulis blog makanan.

Fan pernah menghasilkan pelbagai replika binaan terkenal dalam dan luar negara beberapa tahun lalu menggunakan coklat termasuk Dewan Harmoni Tertinggi di Kota Larangan Beijing, Pagoda Yingxian di wilayah Shanxi serta Menara Eiffel di Paris.
Dia juga pernah menghasilkan salinan beberapa karya seni terkenal menggunakan coklat seperti One Thousand Li of Rivers and Mountains dari China dan The Mona Lisa karya Leonardo da Vinci.
Katanya, dia bercadang untuk menghasilkan lebih banyak replika seni bina tradisional China pada masa hadapan kerana amat tertarik dengan warisan seni bina negara itu.
"Saya akan melakukan lebih banyak kajian dalam bidang ini dan mencari cara untuk membantu lebih ramai orang memahami seni bina tradisional," katanya.
Di media sosial, ramai pengguna meluahkan kekaguman terhadap hasil kerja tersebut.
"Saya berharap dapat mengecilkan saiz badan supaya boleh bermain dalam dunia coklat yang dihasilkannya," tulis seorang warganet.
Ada juga yang berpendapat Fan layak memohon pengiktirafan rekod dunia atas hasil kerjanya yang luar biasa.