Gulai ikan Kedah dipuji sangat sedap, tak sama negeri lain... Orang utara dedah rempah rahsia, cara masak
SETIAP negeri di Malaysia memang ada identiti masakan tersendiri lebih-lebih lagi hidangan berasaskan gulai yang menjadi kegemaran ramai.
Walaupun nampak hampir sama hakikatnya setiap gulai ada keunikan dari segi rasa, bahan dan cara penyediaan yang membezakannya antara satu sama lain.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang wanita bercerita tentang ibu mentuanya yang memuji keenakan gulai ikan di Kedah yang dianggap mempunyai rasa jauh lebih sedap berbanding negeri lain.
"Hari tu mak mentua ada tanya 'kenapa gulai ikan Kedah rasa lain? Ibu pi kedah hari tu makan sedap betul, apa beza masak gulai Kedah dengan kari negeri lain, letak apa?'.

"Orang Kedah tolong jawabkan sat sebab aku ni masak gulai tak ada la jadi gulai Kedah sangat pun," tulisnya, meminta bantuan warga Threads.
Di ruangan komen, rata-rata orang utara memberikan jawapan jujur dengan berkongsi cara dan bahan asas yang digunakan.
Antara yang paling banyak dikongsikan adalah tentang penggunaan rempah cap O selain bahan wajib seperti halba campur, daun kari, bawang putih dan bawang merah.
MENARIK DIBACA: Wanita serik makan belangkas, ramai tampil kongsi pengalaman hitam serupa
MENARIK DIBACA: Wanita tukar susu badan jadi serbuk, sangat memudahkan urusan - "Keputusan terbaik pernah saya buat"
"Orang Kedah tumisan dia biasa-biasa saja. Tak campur benda pelik-pelik, guna bawang putih, bawang merah, halba campur, daun kari, rempah kari, asam jawa, santan, tomato dan bendi/timun/terung. Itu saja... negeri lain suka letak macam-macam sebab tu kadang-kadang rasa tak sedap.
"Guna rempah cap O. Lagi satu, mama saya masak tak letak halia, air asam jawa saja banyak. Masak rempah wajib pecah minyak tiga kali, kalau tak cukup tiga kali dia memang tak nak makan.

"Rempah cap O haha. Ikan sini segar sama kot, tak sempat nak kena ais dah masuk dalam periuk.
"Gulai ikan Kedah orang kampung selalunya guna rempah cap O dan untuk menumis pakai halba campur, bawang putih, bawang merah serta daun kari. Gulai Kedah tak pekat sangat, kuah cair sikit walaupun ada santan sebab rasa sedap tu datang daripada ikan dan santan segar," antara komen netizen.
Ternyata ramai netizen turut mengakui kesedapan gulai ikan di Kedah.
"Sebagai orang Kelantan yang duduk di Kedah, saya sahkan gulai ikan Kedah memang tiada tandingan sedapnya terutama kalau pergi makan belah kuala (Kuala Kedah), sebab ikan termenung segar tak kena ais terus masak.
"Kena pula makan dengan sambal belacan dan ikan termenung goreng. Orang Kedah kata habis metaaa (memang terbaik) la!" komennya.