Yeo’s himpun generasi muda, KL Sentral jadi pentas semarak cinta Malaysia
KESIBUKAN KL Sentral bertukar meriah pada Sabtu lalu apabila kira-kira 120 kanak-kanak berhimpun menzahirkan rasa cinta terhadap negara menerusi penganjuran aktiviti seni dan kreativiti.
Program sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Yeo’s Yeogurt bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.
Acara ini menjadi pendekatan santai untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, termasuklah pertandingan mewarna.

Menariknya acara ini, ia melibatkan kerjasama dua jenama yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia, masing-masing mempunyai perjalanan panjang bersama masyarakat negara ini.
KTMB yang wujud sejak sebelum kemerdekaan terus menghubungkan rakyat merentasi bandar dan komuniti, manakala Yeo’s pula dikenali dalam kalangan keluarga Malaysia sejak turun-temurun.
Wakil Yeo’s Malaysia, Renda Low berkata, aktiviti seni dipilih kerana mampu memberi ruang kepada kanak-kanak menafsirkan makna Malaysia mengikut imaginasi sendiri.
MENARIK DIBACA: Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 himpunkan pemain industri seluruh Asia
MENARIK DIBACA: Tiga pilihan keju Bega baharu kini di pasaran Malaysia
“Bulan kemerdekaan merupakan peluang untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak dengan cara yang bermakna dan menyeronokkan.
“Melalui seni dan warna, kami berharap mereka dapat menzahirkan apa erti Malaysia kepada mereka sambil mengetengahkan kreativiti,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, peranan syarikat pengangkutan itu melangkaui perkhidmatan membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain.

“KTMB telah menghubungkan rakyat Malaysia sejak turun-temurun dan kami berbangga untuk terus menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka.
“Kerjasama ini diharap dapat mencipta pengalaman Bulan Malaysia yang bermakna, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara,” ujarnya.
Kemeriahan sambutan turut dikongsi bersama penumpang apabila Yeo’s Yeogurt diedarkan kepada kanak-kanak dan keluarga yang menggunakan perkhidmatan ETS di KL Sentral pada hari berkenaan.