Ejen susu pisang dakwa ‘bergelut’ nak habiskan stok, kini cuma harap ‘balik modal’
SETIAP individu yang menceburi bidang perniagaan sudah tentu memasang impian untuk meraih keuntungan.
Bagaimanapun bidang perniagaan tidak mudah dan indah seperti dibayangkan.
Mengambil contoh mereka yang menjadi ejen sesuatu produk, ada yang terpaksa menelan pahit akibat barangan yang diambil gagal dijual.
Begitulah nasib yang menimpa seorang wanita yang mendakwa dirinya kini berada di 'titik terendah' selepas menjadi ejen perniagaan produk susu pisang jenama Nilofa.
Menerusi satu luahan di Threads, wanita itu mengaku tidak pernah memaksa sesiapa untuk membeli sebaliknya cuma mahu mendapatkan semula wang modal yang telah dikeluarkan.

"Titik terendah saya sebagai ejen Banana Milk Nilofa. Saya tak pernah paksa sesiapa beli, saya cuma nak habiskan stok 20 karton ini dan dapatkan modal saya semula.
"Hampir RM2,500 modal saya keluarkan. Kalau saya duduk membatu dan tak promosikan, macam mana lagi saya nak buat?" luahnya kecewa.
Hantarannya mendapat perhatian apabila ramai bersetuju bahawa kesilapan utama sesetengah ejen adalah terlalu yakin sesuatu produk itu mudah dijual hanya disebabkan jenamanya.
Seorang warganet menegaskan realiti dunia perniagaan yang memerlukan usaha sendiri dan bukannya bergantung penuh pada nama artis semata-mata.
"Hakikat sebenar, ada yang nak jual sebab mereka beranggapan itu produk artis 'femes', mesti akan terjual habis. Tidak sis yang artis itu dia! Dia buat satu iklan sahaja satu Malaysia beli produk dia.
"Yang nak jadi ejen ini tetaplah kena bina ‘personal branding’, kena promosi ‘non-stop’ sebab tak ada siapa kenal kita! Lepas itu muncullah stok tak habis terjual, berlambak-lambak tak ada orang beli. Sakitnya tuh di sini... sebab saya pun ejen produk orang, sakit bila membayangkan," tulis netizen berkenaan.

Keadaan menjadi semakin hangat apabila pelakon Zarina Anjoulie turut bersuara berhubung isu ini.
Zarina berkata dia berasa hairan mengapa ramai yang masih sanggup menjadi ejen walaupun mendakwa komisen yang diterima sangat rendah.
"Jadi korang jadi ejen dia sebab minat gila dekat dia ke apa? Cause no way on earth you guys are making money. Serius nak tahu, bukan nak biadab," tulis Zarina.
MENARIK DIBACA: Detik cemas di dapur! Bilah 'chopper' patah, terpelanting - "Sikit lagi nak kena mata"
MENARIK DIBACA: Ada sebab orang dulu-dulu tak guna sabun cuci lesung batu, cuma jirus air panas
Tambahnya lagi, dia tidak berniat untuk menjatuhkan sesiapa sebaliknya sekadar meluahkan rasa pelik dengan membandingkan komisen yang ditawarkan dirinya kepada ejen.
"Secara jujurnya saya tak ada niat nak down kan siapa-siapa, saya cuma musykil sebab saya pun ada ejen dulu. Busuk-busuk untung RM10 satu barang, yang lain lagi mahal. Ejen saya sampai mampu beli kereta baru, barulah seronok berniaga!