Tiga pilihan keju Bega baharu kini di pasaran Malaysia
KEJU sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan sajian tertentu seperti piza, sandwic dan pasta, malah menjadi bahan penting untuk menaikkan rasanya.
Menyedari permintaannya yang semakin meningkat di Malaysia, Bega Group memperkenalkan tiga variasi baharu Bega Shredded Cheese iaitu mozzarella, cheddar dan 'cheese melt'.
Pengenalan rangkaian keju parut baharu itu bertujuan memenuhi keperluan pengguna runcit serta pengusaha sektor perkhidmatan makanan.
Produk-produk ini dihasilkan di Malaysia menggunakan keju berkualiti dari New Zealand dan beberapa negara Eropah serta diperakui halal.

Pengurus Besar Jualan Asia Tenggara Bega Group, Samantha Loke berkata, pihaknya bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah majlis pelancarannya turut menjadi platform untuk mendekati pengusaha makanan, profesional kulinari dan pengguna.
“Hari ini bukan sekadar pelancaran produk baharu, ia juga peluang untuk kami berhubung dengan pengusaha sektor perkhidmatan makanan, profesional kulinari dan pengguna melalui kecintaan terhadap makanan berkualiti.
“Sasaran kami merangkumi semua lapisan pengguna yang menggemari keju dan produk ini dipasarkan melalui pelbagai saluran termasuk pasar raya, rangkaian runcit moden, kedai bahan bakeri serta sektor perkhidmatan makanan.
“Selain pengguna individu, produk kami turut digunakan oleh restoran, kafe, bakeri dan pelbagai pengusaha makanan," katanya pada majlis pelancaran tiga variasi baharu Bega Shredded Cheese di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Katanya, buat masa ini rangkaian pengedaran meliputi lebih 376 lokasi jualan di 17 negeri dan wilayah dengan pihaknya komited menyediakan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lucky Frozen, See Quin Seng berkata, permintaan terhadap produk keju berkualiti yang versatil dan mudah digunakan terus meningkat dalam segmen perkhidmatan makanan dan runcit.
Menurutnya, pasaran keju di Malaysia berkembang dengan ketara kerana sebelum ini keju lebih banyak digunakan dalam hidangan seperti piza dan pasta tetapi penggunaannya semakin meluas dalam masakan Asia seperti tteokbokki, ramen serta pelbagai hidangan tempatan.
“Rakyat Malaysia sangat kreatif dalam mengadaptasikan keju ke dalam pelbagai makanan termasuk mi segera, nasi dan makanan jalanan.
“Kami melihat permintaan terhadap produk tenusu termasuk keju terus meningkat setiap tahun. Produk tenusu semula jadi seperti yogurt, keju dan krim keju kaya dengan kalsium serta nutrien penting yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak dan kesihatan ibu mengandung,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan secara langsung dan sesi merasa produk.
Aktiviti tersebut bertujuan mempamerkan penggunaan Bega Shredded Cheese dalam pelbagai jenis sajian.
Lebih membanggakan, syarikat itu turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi pencapaian Largest Oven Baked Cheese Melt Sandwich Formation.
Kejayaan tersebut direalisasikan hasil kerjasama antara Berri Asia Sdn Bhd dan Silent Teddies, sebuah perusahaan sosial yang memperkasa komuniti pekak dan kurang pendengaran melalui peluang pekerjaan serta inisiatif keterangkuman sosial.