Pelajar UPM cipta tepung biji durian, hasilkan roti Doughrian rendah karbohidrat
SIAPA sangka, biji durian yang biasanya dibuang boleh dijadikan makanan lain, sekali gus menyokong usaha mengurangkan pembaziran serta menggalakkan amalan ekonomi kitaran.
Sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang berjaya menghasilkan roti berasaskan tepung biji durian sebagai usaha memberi nilai tambah kepada sisa agro makanan yang lazimnya dibuang.
Memetik laporan di laman sesawang rasmi UPM, inovasi dikenali sebagai Doughrian itu dihasilkan menerusi projek tahun akhir dengan tujuan bukan sahaja memanfaatkan biji durian sebagai bahan makanan alternatif, malah turut menyokong mengurangkan pembaziran.

Menurut ketua projek, Yeap Xiang Yang, idea menghasilkan tepung biji durian itu tercetus apabila melihat situasi pengeluaran semasa yang mana 'raja buah' mengalami kejatuhan harga akibat lambakan bekalan.
"Apabila harga durian jatuh dan bekalannya melambak di pasaran, kami melihat peluang untuk menghasilkan nilai baharu daripada bahan yang selama ini dianggap sebagai sisa.
"Kami berharap inovasi ini dapat membuka peluang pendapatan tambahan kepada industri melalui pemanfaatan biji durian," katanya.
MENARIK DIBACA: Asalnya gurauan hasil AI, ‘selipar Jepun’ goreng kini jadi kegilaan
MENARIK DIBACA: [V] Nasi Goreng Robot viral, peniaga cipta 'kuali berputar' selepas terbabit kemalangan
Bagi menghasilkan tepung tersebut, biji durian melalui beberapa proses termasuk cucian, rebusan, penyejukan, pengupasan kulit luar, hirisan, pengeringan, kisaran dan tapisan sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
Tepung itu kemudiannya dipanggang dan dimasukkan bersama bahan lain bagi menghasilkan roti.
Menurut Xiang Yang, roti yang dihasilkan mengandungi kira-kira 16.4 peratus karbohidrat, jauh lebih rendah berbanding kebanyakan roti komersial yang lazimnya mengandungi sekitar 40 hingga 50 peratus karbohidrat.
Formulasinya turut mengandungi kira-kira 20 peratus protein dan 13.9 peratus serat makanan.
Tambah menarik, roti berasaskan tepung biji durian itu mempunyai indeks glisemik rendah, bebas laktosa dan sesuai untuk vegetarian.

Pada masa sama, roti itu turut dihasilkan setelah melihat situasi peningkatan kes diabetes di Malaysia yang semakin membimbangkan.
Kumpulan pelajar itu berharap inovasi ini dapat menjadi salah satu alternatif makanan yang lebih sihat dan membantu pengguna mengamalkan corak pemakanan yang lebih baik.
Selain menawarkan pilihan makanan baharu, penggunaan biji durian sebagai bahan mentah alternatif juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada tepung konvensional serta meningkatkan nilai ekonomi hasil sampingan industri durian yang selama ini kurang dimanfaatkan.